Category Archives: Keusahawanan

[Edisi AGM UMNO 2011]: Harapan Dan Maki Hamun.

Masih ingat dalam memori aku pada awal penglibatan bidang keusahawanan. Secara ringkas, aku bukanlah dari keluarga yang kaya, jadi untuk memulakan perniagaan perlu ada modal. Pada waktu tu zaman pemerintahan Pak Lah sebagai PM, bidang perniagaan dan keusahawanan menjadi salah satu agenda kerajaan membantu rakyat. MDeC, MARA, TEKUN, PUNB dll sebagai platform pemula bagi bakal usahawan menjadi usahawan yang berjaya.

Berbekalkan info itu, aku dan isteri mengambil peluang untuk mendapat bantuan kerajaan bagi memulakan perniagaan. TEKUN menjadi pilihan kerana tak perlu banyak prosedur kertas kerja diperlukan, setakat bukti akaun semasa, perjanjian sewa premis, dan bukti pendaftaran syarikat di SSM sudah mencukupi.

Aku pernah dengar desas-desus yang mengatakan kalau nak buat pinjaman di TEKUN perlu jadi ahli UMNO. Tapi aku tak pikir sangat pasal tu, masih bersangka baik. Selepas memenuhkan borang permohonan, aku pergi ke TEKUN. Di sana, aku disoal pegawai untuk mendapatkan tandatangan YB atau Ketua Bahagian UMNO. Aku terus buat apa yang dikehendaki. Sampai di pejabat YB, pegawai di situ bertanya adakah aku ahli UMNO, jika tidak, aku perlu daftar keahlian sebelum borang mendapat tandatangan YB. Desas-desus rupanya benar. Aku sendiri merasainya.

Zaman Najib menjadi PM, satu kejutan buat orang seperti aku kerana Najib secara sengaja telah menggugurkan Kementerian Keusahawanan dari kabinet. Secara tidak langsung, talian hayat usahawan bumiputera khasnya hilang. Pada waktu ini, UMNO sepatutnya membincangkan survival orang Melayu yang menjadi teras perjuang mereka. Bukan memaki hamun pembangkang.

Harapan rakyat Malaysia bukan setakat mahukan beras sekampit waktu kempen pilihanraya. Tetapi mahukan kerajaan membela mereka. Mereka mahukan penekanan diberikan kepada bumiputera untuk menyaingi kaum lain dalam sektor ekonomi negara. Kerana UMNO pada waktu ini adalah parti komponen yang memerintah negara. UMNO mempunyai kuasa untuk menentukan masa depan orang Melayu di negara ini.

AGM kali ini tampak tiada harapan untuk rakyat Malaysia. Harapan bagaikan kabus pagi yang hilang tika tengahari menjelang. Pengisian AGM dipenuhi kata-kata maki hamun kepada pembangkang. Hampir semua pucuk pimpinan mengeluarkan ide-ide memusuhi pembangkang dalam ucapan mereka. Bahkan hampir tiada dari pemimpin mereka yang menjawab isu-isu yang terpalit di muka mereka.

Melihat senario ini kelihatan UMNO sedang nazak untuk memulihkan reputasi mereka. Ayat-ayat ucapan untuk menarik kembali keyakinan rakyat kepada UMNO dah tiada isi. Malah ada antara isi kandung ucapan pemimpin tertinggi seperti memperlihatkan pembaca ucapan sebagai bodoh dan jahil. Tidak tahu apa yang mereka ucapkan. Akhirnya menjadi bahan gelak ketawa audien yang mengikuti AGM mereka.

Harapan mengganti maki hamun. Mungkin UMNO merasai tekanan yang mereka hadapi dari Pakatan Rakyat. Tekanan oleh janji-janji harapan PR kepada rakyat lebih nampak realiti dari retorik janji-janji UMNO yang lebih 50 tahun memerintah tetapi keadaan rakyat makin tahun makin sempit dan susah.

Apa yang aku lihat AGM UMNO kali ini berbeza dari Muktamar PAS yang lepas yang banyak membincangkan mengenai masa depan parti, bukan semata-mata survival politik. Mungkin patut tajuk ucapan Naib Presiden UMNO ditukar, dari “Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad” kepada “Menunjangi Survival UMNO: Suatu Jihad“.

[Penulisan artikel dihantar kepada WordPress melalui Blackberry Device]

Jawatan Kosong: Graduan Sengal?

Aku pun seorang graduan. Tapi aku harap aku tak sengal macam beberapa graduan yang pergi ke Karnival Kerjaya di PWTC baru-baru ni.

Jangan marah bila membaca tulisan ini. Tetapi berfikirlah secara matang sebagai seorang graduan yang menghabiskan masa untuk belajar mengadap buku dan pensyarah lebih kurang 3-4 tahun. Jangka masa yang agak lama.

Masalah dengan para graduan yang dikategorikan sebagai “Graduan Sengal” ini adalah kerana mereka ini terlalu MANJA dan selalu dianggap BAGUS. Semuanya berkaitan dengan permasalahan bila mencari kerja. Mereka terlalu memilih kerja. Akhirnya sendiri yang kecewa.

Karnival Kerjaya di PWTC ini adalah peluang bagi graduan yang baru dan yang lama untuk memenuhi jawatan kosong yang ditawarkan oleh beberapa organisasi yang turut serta dalam karnival ini. Peluang ini memang khas untuk membantu mereka bagi memenuhi kehendak industri dan juga memenuhi kehendak sendiri untuk bekerjaya. Tapi malangnya mereka (graduan) tak matang dan mahu dilayan seperti putera raja.

Dalam akhbar Metro dua hari sebelum ini, ada satu rencana mengenai kekecewaan para graduan yang pergi ke Karnival Kerjaya ini kerana dikelirukan oleh organisasi yang menawarkan kerja yang berpendapatan mencecah lima angka. Wah!.. maka terlompat gumbira para graduan yang sengal untuk bergelar orang kaya sedangkan pengalaman tiada. Tetapi bila mendapat tahu kerja sebenar yang ditawarkan oleh organisasi tersebut – selalunya kerjaya yang ditawarkan ialah bahagian Jualan (Sales) – maka terkedu dan kecewalah mereka.

Mereka lapor dalam akhbar bahawa mereka telah tertipu. Tapi pada aku organisasi tidak menipu, mereka hanya ‘memasarkan’ peluang tersebut. Organisasi mahu mencari orang yang sesuai dalam masa yang sesuai. Organisasi mahu orang yang kuat, tahan cabaran, rajin untuk bekerja dengan mereka. Sudah tentulah dalam keadaan ekonomi sekarang ini, organisasi dan syarikat mahukan kenaikan jualan dan mereka mencari wakil jualan yang benar-benar sesuai. Dan sesuai dengan kerja yang mencabar tersebut, segala insentif seperti komisyen yang tinggi akan pekerja rasai.

Mahu aku bertanya kepada para graduan. Selama anda belajar 3-4 tahun di universiti, pernahkah anda mematangkan fikiran anda?

Adakah dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, organisasi dan syarikat mahu mengambil graduan yang sengal macam anda? Tak tahan cabaran dan terlalu memilih kerja.

Aku sebagai majikan sudah tentu akan memilih pekerja yang kuat, rajin, fleksibal, multitasking dan boleh membuat keputusan sendiri untuk kerja mereka. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang ini, bahagian jualan (sales) menjadi misi utama bagi semua syarikat, tak kira yang kecil atau yang besar, tingkatkan jualan adalah misi utama bagi survival perniagaan mereka.

Oleh itu, bagi graduan yang tak suka dengan kerja jualan (sales), maka jangan berlagak anda layak untuk gaji 4-5 ribu sebulan jikalau anda tak tahan dengan cabaran. Gaji yang layak untuk graduan sengal sepatutnya tak lebih dari 900 sebulan kerana suasana kerja yang kondusif seperti kerja dalam aircond, ada meja sendiri, anda komputer sendiri, pakai tie dan baju tide-in, masuk kerja jam 9 pagi keluar jam 5 petang, dan kerja macam lembu – kerja ikut arahan tanpa kritis.

Jadi bagaimana? Jangan salahkan syarikat atau organisasi jikalau iklan kerja yang mereka tawarkan amat lumayan, tetapi mahu tanya graduan sengal ini – siapa nak bagi duit RM ribu-ribu jikalau hanya kerja setakat data entry sahaja. Adik aku yang tingkatan 3 pun boleh buat. haha.

Renung-renungkan dan selamat mencari kerja..

Restoran VS. Gerai VS. Masak Sendiri

Mana satu idaman kalbu?

Antara tiga pilihan diatas. Ditanya aku, maka jawapannya masak sendiri.

Tapi masa pula tiada.

Maka pilihan Restoran atau Gerai jadi pilihan.

Aku tak bawa apa-apa maksud dalam artikel ini. Cuma survival kian hari kian senja membuatkan aku tertanya-tanya mengenai survival orang yang bekerja.

Kalau dahulu restoran aku mempunyai ramai pengunjung. Hari makin hari, jualan meningkat sehingga tak terkejar tangan. Permintaan pelanggan, tempahan katering, kenduri-kendara bagai dunia ini seperti zaman Khalifah Umar Abdul Aziz dimana tiada yang miskin, semuanya kaya, semua mahu bersedeqah, semua mahu makan.

Tapi hari ini tidak. Makin hari pelanggan makin menghilang.

Ada yang kena buang kerja, balik semula ke kampung asal.

Ada yang bekerja, berjimat takut kosong ditengah bulan.

Ada yang menganggur, berpusu-pusu cari kerja.

Ada yang PATI, merayu-rayu suruh diambil bekerja. Gaji RM 10 sehari pun boleh.

Tapi aku tak boleh buat keputusan begitu. Restoran aku kini dalam proses “evolusi” perkhidmatan dan pengeluaran produk. Diluar sana gerai burger, gerai chow kuew teow, gerai yong tau fu, gerai pisang goreng, gerai nasi lemak panas, gerai air buah, gerai itu, gerai ini tumbuh bagaikan cendawan selepas tsunami gempa bumi 9 skala ricther.

Semua orang mahu duit lebih.

Tapi pelanggan ada sekangkang kera. Tak ramai.

Daripada seluruh penduduk ditempat aku tu, mungkin dalam 40% sahaja yang makan di luar. Yang lain masak sendiri atau berpuasa – tahan lapar dan dahaga.

Kedai jual sayur dan ikan jualan mereka meningkat, tetapi restoran jualan mereka menurun. Apa sebab? Jawapannya diatas.

Ini bukan dipanggil “Persaingan Sihat“, tetapi “Persaingan Demam cum Muntah Darah“. Haha.

Tapi yang kesiannya, bila ada seorang buka gerai nasi lemak disatu simpang, sehari dua lepas tu ada la pulak dua tiga orang pun buka juga gerai nasi lemak di simpang yang sama. Kesian “pelopor” perniagaan simpang tu…

Tapi paling kesian, cukup dua minggu berniaga, semua gerai nasi lemak simpang tersebut “lingkup” sebab modal tak dapat “cover“. Apa taknya, dah ada orang lain buka gerai nasi lemak, korang yang lain bukalah gerai air ke, donut ke, buah ke, ini tidak… dok tirulah perniagaan orang lain.

Moralnya, nak berniaga gerai pun kena ada ilmu. Jangan main hentam kromo aje. Tengok pasaran. Tengok kawasan. Buat sikit kajian, baru la untung berniaga.

Yang penting, jangan kacau perniagaan aku…. huhuhu

Hari Pekerja dan Sakit Pinggang

Cuti 3 hari sempena Hari Pekerja memang aku gunakan sebaik mungkin untuk aku berehat. Bukan apa, semenjak dua menjak ni sejak ekonomi aku merudum, aku terpaksa kerja keras. Hendak melawat blog pun dah tak sempat-sempat. Sudah la talian internet yang aku daftar di TM masih lagi kena hold sebab port penuh katanya. Masuk bulan ni, dah 2 bulan aku tunggu berita dari TM.

Ditambah lagi dengan sakit belakang dan pinggang yang membataskan kebebasan aku untuk memandu kereta membuatkan aku naik resah dek kewangan aku yang makin meruncing. Tapi aku berterima kasih pada kawan aku sebab perkenalkan aku produk Premium Beautiful – bahagian bengkung – untuk merawat sakit belakang dan pinggang aku. Alhamdulillah, lega rasanya bila dah pakai walaupun terasa agak ketat dibahagian perut. Tapi yang lebih penting kebuncitan perut aku dapat disorokkan dari pengetahuan orang ramai. Haha.

Politik semasa Malaysia aku hanya dengar sikit-sikit aje, kalau nak harapkan TV3 dan RTM rasa macam kena tipu hidup-hidup. Entah benar atau tidak, tak dapat dipastikan.

Hari-hari aku berdepan dengan karenah manusia dengan harga barang yang menentu, kemungkinan besar harga ayam akan naik. Nak kurang belanja, makan aje kangkung. Habis cerita.

Tapi aku harap cuti panjang ini berbaloi untuk aku berehat.

Ekonomi Merudum, Aku Merudum

Kerja aku bukan makan gaji. Akhir bulan orang lain mengira duit masuk, aku pula mengira duit keluar. Bayar gaji pekerja, sewa premis, bil utiliti dan macam-macam lagi yang sewaktu dengannya.

Pelanggan kedai aku makin berkurangan. Jualan kedai aku kejap naik, kejap turun. Tapi semenjak dua menjak ni selalu turun.

Pelanggan makin hari makin berhati-hati untuk berbelanja, semua berkira. Termasuklah aku. Takut lari budget.

Ada yang mengadu tak dapat bayar pinjaman. Kalau kerja makan gaji segala bayar ansuran pinjaman ditolak secara automatik dari akaun. Ada yang hanya tinggal puluh-puluh ringgit sahaja. Nak makan apa?

Sekarang nak tak nak kena cari back-up baru untuk aku dan perniagaan. Kalau tak? Lu Pikir La Sendiri... huhuhu

Pekerja Asing VS Pekerja Tempatan

Apa akan jadi jika tiada pekerja asing di negara kita? Anda sendiri boleh jawab.

Secara asasnya aku juga tak suka pekerja asing ni, tapi mahu tak mahu aku terpaksa akur bahawa rakyat tempatan susah nak bekerja. Maksud aku disini apabila kita bincang mengenai gaji dan sikap.

Aku sendiri memang menghadapi masalah seperti ni setiap hari. Gaji nak banyak, tapi kerja berkira. Disuruh buat itu, diungkit hal ini, dimarah sikit, terus merajuk. Kalau hasad dengki dan iri hati tu dah jemu aku tengok. Kerja sekejap nak bergaduh. Orang tu tak buat kerja, orang ni tak buat kerja.

Susah sebenarnya nak kawal pekerja tempatan jenis ni. Bersyukur kalau dapat yang jenis ‘sedar diri’. Yang tak ‘sedar diri’ tu memang ramai, merayu nak kerja, tapi bila dapat kerja lagak seperti bos.

Kalau prinsip nak guna pekerja tempatan dalam bisnes, satu risiko yang perlu kita ambil ialah ‘turnover‘ yang tinggi. Mereka mungkin hanya bekerja dengan kita tak lama, paling lama setahun, peling sekejap hari masuk kerja, esok berhenti. Kos latihan jadi beban setiap kali nak rekrut pekerja baru. Itulah masalahnya dengan pekerja tempatan.

Lain sedikit ceritanya dengan pekerja asing, selama aku menjadi majikan, ‘turnover‘ aku mula menurun, senang nak ajar mereka sebab mereka ni ‘sedar diri’. Cuma mungkin masalah komunikasi agak sedikit susah, tapi lebih susah nak berkomunikasi dengan orang sendiri kalau dah bebal.

Mungkin hasrat kerjaan untuk menutup pendataran pekerja asing di negara ini ada baiknya bagi mengurangkan kebanjiran sanak saudara mereka, tetapi industri Malaysia masih memerlukan pekerja asing untuk terus berniaga. Kalau nak harapkan pekerja tempatan yang ramai tetapi seperti buih-buih ombak dipantai, nampak banyak tetapi tak terus jadi buih, semua meletup hilang bersama air laut.