[Edisi AGM UMNO 2011]: Harapan Dan Maki Hamun.
Masih ingat dalam memori aku pada awal penglibatan bidang keusahawanan. Secara ringkas, aku bukanlah dari keluarga yang kaya, jadi untuk memulakan perniagaan perlu ada modal. Pada waktu tu zaman pemerintahan Pak Lah sebagai PM, bidang perniagaan dan keusahawanan menjadi salah satu agenda kerajaan membantu rakyat. MDeC, MARA, TEKUN, PUNB dll sebagai platform pemula bagi bakal usahawan menjadi usahawan yang berjaya.
Berbekalkan info itu, aku dan isteri mengambil peluang untuk mendapat bantuan kerajaan bagi memulakan perniagaan. TEKUN menjadi pilihan kerana tak perlu banyak prosedur kertas kerja diperlukan, setakat bukti akaun semasa, perjanjian sewa premis, dan bukti pendaftaran syarikat di SSM sudah mencukupi.
Aku pernah dengar desas-desus yang mengatakan kalau nak buat pinjaman di TEKUN perlu jadi ahli UMNO. Tapi aku tak pikir sangat pasal tu, masih bersangka baik. Selepas memenuhkan borang permohonan, aku pergi ke TEKUN. Di sana, aku disoal pegawai untuk mendapatkan tandatangan YB atau Ketua Bahagian UMNO. Aku terus buat apa yang dikehendaki. Sampai di pejabat YB, pegawai di situ bertanya adakah aku ahli UMNO, jika tidak, aku perlu daftar keahlian sebelum borang mendapat tandatangan YB. Desas-desus rupanya benar. Aku sendiri merasainya.
Zaman Najib menjadi PM, satu kejutan buat orang seperti aku kerana Najib secara sengaja telah menggugurkan Kementerian Keusahawanan dari kabinet. Secara tidak langsung, talian hayat usahawan bumiputera khasnya hilang. Pada waktu ini, UMNO sepatutnya membincangkan survival orang Melayu yang menjadi teras perjuang mereka. Bukan memaki hamun pembangkang.
Harapan rakyat Malaysia bukan setakat mahukan beras sekampit waktu kempen pilihanraya. Tetapi mahukan kerajaan membela mereka. Mereka mahukan penekanan diberikan kepada bumiputera untuk menyaingi kaum lain dalam sektor ekonomi negara. Kerana UMNO pada waktu ini adalah parti komponen yang memerintah negara. UMNO mempunyai kuasa untuk menentukan masa depan orang Melayu di negara ini.
AGM kali ini tampak tiada harapan untuk rakyat Malaysia. Harapan bagaikan kabus pagi yang hilang tika tengahari menjelang. Pengisian AGM dipenuhi kata-kata maki hamun kepada pembangkang. Hampir semua pucuk pimpinan mengeluarkan ide-ide memusuhi pembangkang dalam ucapan mereka. Bahkan hampir tiada dari pemimpin mereka yang menjawab isu-isu yang terpalit di muka mereka.
Melihat senario ini kelihatan UMNO sedang nazak untuk memulihkan reputasi mereka. Ayat-ayat ucapan untuk menarik kembali keyakinan rakyat kepada UMNO dah tiada isi. Malah ada antara isi kandung ucapan pemimpin tertinggi seperti memperlihatkan pembaca ucapan sebagai bodoh dan jahil. Tidak tahu apa yang mereka ucapkan. Akhirnya menjadi bahan gelak ketawa audien yang mengikuti AGM mereka.
Harapan mengganti maki hamun. Mungkin UMNO merasai tekanan yang mereka hadapi dari Pakatan Rakyat. Tekanan oleh janji-janji harapan PR kepada rakyat lebih nampak realiti dari retorik janji-janji UMNO yang lebih 50 tahun memerintah tetapi keadaan rakyat makin tahun makin sempit dan susah.
Apa yang aku lihat AGM UMNO kali ini berbeza dari Muktamar PAS yang lepas yang banyak membincangkan mengenai masa depan parti, bukan semata-mata survival politik. Mungkin patut tajuk ucapan Naib Presiden UMNO ditukar, dari “Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad” kepada “Menunjangi Survival UMNO: Suatu Jihad“.
[Penulisan artikel dihantar kepada WordPress melalui Blackberry Device]
Posted on Disember 2, 2011, in Hidup Ini, Isu Semasa, Keusahawanan, Politik. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.
Tinggalkan komen
Comments 0