Category Archives: Isu Semasa

Ludah Siswa Atau Ludah Najib?

Terkejut.

Mahasiswa telah tunjuk taring. Walaupun bukan majoriti mahasiswa di Malaysia ini, tetapi tindakan mereka perlu diambil perhatian. Najib Razak perlu takut. Bukan takutkan mahasiswa itu dengan “panglima perang” UMNO yang bersenjata air ludah, tetapi takutilah mahasiswa kerana mereka tidah lagi mudah dimomokkan lagi. Walaupun ada segelintir mereka mudah diper”bodoh”kan walau berpendidikan tinggi, dan itu tak semua, mana yang berani bertindak akan terus dengan agenda mereka.

Ada beberapa perkara yang aku ingin tekankan di sini, iaitu Hak Mahasiswa dan Kepimpinan Najib Razak.

Golongan ini adalah golongan yang mempunyai pemikiran kritis. Walaupun tak semua yang berfikiran kritis, tetapi semua mereka memupuk ilmu untuk digunakan masa depan. Berguna atau tidak ilmu yang mereka tuntut di IPT untuk masa depan – itu cerita lain. Penglibatan mereka untuk sesebuah negara amat-amat bernilai. Jatuhnya kerajaan Hosni Mubarak di Mesir adalah bermula di kampus oleh remaja yang bergelar Mahasiswa. Mereka koyak foto besar Hosni Mubarak sehingga berlaku revolusi dan menjatuhkan kerajaan.

Perkara ini boleh berlaku di Malaysia. Perbuatan menurunkan bendera wajah Najib Razak di PWTC bagaikan jatuhnya panji-panji perang di kubu sendiri. Satu perkara yang amat memalukan bagi seorang Perdana Menteri.

Malaysia ini negara timur yang penuh dengan sopan santun, budi bahasa dan tatatertib yang baik, tetapi jika dicuit, amuk jadinya. Mahasiswa sudah tak tahan diperbodohkan. Kerajaan mungkin boleh memperbodohkan rakyat dengan transformasi itu dan ini, tetapi mahasiswa bukan rakyat yang begitu. AUKU bukan lagi penghalang. Zaman Mahathir sudah nyanyuk. Tiba zaman Najib Razak – zaman bodoh.

Jangan marah aku jika perkataan “bodoh” menjadi darah daging kepimpinan kerajaan sekarang. Lihat sahaja kenyataan-kenyataan para menteri, timbalan menteri, pemimpin-pemimpin parti memerintah semua kenyataan yang kosong. Tiada makna. Malah yang paling teruk mereka tidak sedar bahawa mereka itu bodoh dan secara bersahaja memperbodohkan mahasiswa yang juga rakyat Malaysia secara sedar.

Apa yang diperjuangkan oleh mahasiswa ini adalah AUKU. Pada satu ketika dulu, kerajaan berhasrat memansuh AUKU, berita baik kepada mahasiswa untuk terlibat bebas dalam negara (bukan semata-mata penglibatan politik). Tiba-tiba AUKU tidak dimansuhkan, malah dipinda. Dipinda pula bukan untuk “melonggarkan”, tetapi “mengetatkan” rangnya. Ini semua tindakan kerajaan yang memperbodohkan mahasiswa. Mana boleh tahan…

Aku yakin bahawa mahasiswa masih menunjuk hormat kepada kerajaan. Tetapi perlu ingat bahawa mahasiswa juga perlu dihormati.

[Penulisan artikel dihantar kepada WordPress melalui BlackBerry Device]

Surat Terbuka Kepada Orang Melayu: “ISLAM DIDAHULUKAN, MELAYU BERSAMANYA”

Oleh: Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Muqaddimah

Islam didahulukan, Melayu bersamanya. Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan di atas aqidah kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. Inilah kecuaian Umno sejak ditubuhkan sehingga kini.

Kecintaan kepada keluarga, kaum dan bangsa adalah fitrah yang digalakkan oleh Islam, tetapi menjadikannya aqidah perjuangan adalah satu kesesatan. Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan dengan keluarga dan kaumnya, tetapi dengan aqidah dan berpandukan Islam.

Rasulullah S.A.W. adalah ikutan yang dilantik oleh Allah, bukan dilantik melalui pilhanraya atau perhimpunan agung mana-mana parti. Apabila Rasulullah S.A.W. dilantik menjadi Rasul akhir zaman kepada seluruh alam, dipilih daripada kalangan bangsa Arab qabilah Quraisy, paling jahil, miskin dan berada di tengah padang pasir paling gersang, tetapi menjadi paling sabar, berani dan paling lasak menghadapi cabaran kalau ditarbiyah.

Paksinya Islam, bukan bangsa

Bangsa Arab seluruhnya berpecah dan berperang sesama sendiri. Semenanjung Arab, tanah air mereka dijajah oleh kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Persoalannya apakah yang didahulukan oleh Rasulullah S.A.W? Sama ada memulakan perjuangan di atas semangat kebangsaan Arab, satukan mereka terlebih dahulu di atas semangat kebangsaan itu, tegakkan perjuangan kemerdekaan menentang penjajah Parsi dan Rom, selepas itu Islam boleh tegak dengan sendiri bersamanya. Atau mulakan dengan Islam, perkasakan bangsa Arab dengan Islam yang sempurna, aqidah, syariat dan akhlak?

Ucapan pertama disampaikan kepada penduduk Makkah dengan arahan wahyu daripada Allah bermaksud (Al-A’raf: 158):

Katakanlah: “Hai manusia Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah Dia, supaya kamu mendapat petunjuk.

Bukan dengan seruan “Hidup Arab Islam selamat!”, hanya bangsa Arab yang boleh menegakkan Islam, macam slogan Umno: “Hidup Melayu!”.

Tegasnya bahawa Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan mengajak bangsa mengikut Islam, bagi memerdekakan diri daripada jahiliyah dalam diri sendiri terlebih dahulu dengan bangsanya mengikut Islam. Walaupun mendapat tentangan hebat daripada pemimpin kaum bangsa dan keluarganya sendiri, sehingga dihalau daripada tanah air tempat dilahirkannya (Makkah). Kemudian menggunakan kuasa pemerintahan Islam yang ditegakkan oleh kaumnya yang menerima Islam dengan beriman mengikutnya dengan sempurna dan mengumpul serta menyatukan mereka dengan Islam. Kemudian kembali semula ke Makkah untuk memerdekakannya daripada kuasa pemerintahan jahiliyah Arab yang dipimpin oleh ayah mertuanya sendiri Abu Sufian bin Harb.

Islam diamal dan disampaikan

Allah mewafatkan Rasulullah S.A.W. setelah ajaran Islam disempurnakan secara wahyu serta cara beramalnya dinyatakan oleh Sunnah Rasulullah S.A.W. dan setelah menyampaikan mesej Islam secara bersurat yang dihantar kepada negara dan bangsa yang bukan Arab. Ada yang menerima Islam, ada yang tidak menerima tetapi berdamai dan ada yang mengambil sikap permusuhan.

Sebelum wafat Rasulullah S.A.W. Allah menegaskan kepadanya secara wahyu kepada bangsa Arab yang menganut Islam supaya berpandukan Islam, di antaranya Allah memberi amaran (Muhammad: 38):

Jika kamu berpaling (dari menegakkan Islam) nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.

Kepimpinan Islam diteruskan

Khalifah Abu Bakar mengambil alih memimpin negara menentang bangsa Arab yang murtad (berpaling tadah menentang Islam). Penyelewengan berlaku dengan bantuan penjajah Parsi dan Rom. Setelah Khalifah Abu Bakar berjaya mengalahkan bangsa Arab yang murtad maka dimulakan dakwah mengajak kaum lain kepada Islam tanpa paksaan.

Dua kuasa besar dunia menentang secara ketenteraan kerana menganggap bangsa Arab yang menganut Islam itu masih lemah seperti sebelum Islam. Tiba-tiba dua kuasa besar dunia ikut tumbang kerana jahiliyyahnya, walau pun mereka maju dari segi kebendaannya, tetapi dibejati kezaliman dan maksiat. Khalifah Umar R.A. yang berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia itu menyampaikan ucapannya ketika berada di Kota Suci Bait Al Maqdis:

Kita adalah bangsa yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain dari apa yang telah dikurnia Allah, nescaya kita akan ditimpa hukuman Allah menjadi bangsa yang hina.

Arab hebat apabila berpegang dengan Islam

Ketika bangsa Arab yang menganut Islam masih berpegang dengan ajaran Islam, mereka terus memimpin negara yang paling besar dalam sejarah, bersama masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama. Mereka mengislamkan bangsa lain tanpa paksaan dan mengislam ilmu serta kebijaksanaan daripada berbagai bangsa, sehingga melahirkan tamadun Islam yang paling hebat dalam sejarah manusia.

Apabila bangsa Arab menjadi leka terhadap Islam, maka Allah menukarkan bangsa bukan Arab yang menganut Islam dan berpandukan Islam serta menegakkannya. Bangsa lain mengambil alih pemerintahan telah melahirkan ilmuan Islam dan pemimpin negara. Manakala bangsa Arab menjadi rakyat di bawah pemerintahan Islam, oleh para ulama dan pemimpin bukan berbangsa Arab, seperti Kurdis, Turki, Bukhara dan lain-lain.

Melayu juga hebat dengan Islam

Bangsa Melayu di Asia Tenggara turut sama menjadi bangsa yang perkasa apabila mereka menganut Islam dan raja-rajanya memerintah dengan Islam. Bahasa Melayu berhuruf Al Quran bertamadun menjadi bahasa ilmu dirantau ini.

Kedatangan penjajah yang mampu menguasai dunia Islam, termasuk dunia Melayu di rantau ini apabila mereka lemah berpegang dengan ajaran Islam. Cahaya Islam yang sedikit tidak boleh dipadamkan masih bersuluh membangkitkan perjuangan menentang penjajah.

Walaupun penjajah asing sudah meninggalkan tanahair kita, tetapi kesan daripadanya masih wujud dengan tebal. Kita tidak dapat mengembalikan jati diri malainkan dengan kembali menjadikan Islam tertegak di hadapan kita yang menjadi panduan seluruh cara hidup beragama dan bermasyarakat. Ini seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dengan petunjuk Allah dan diperingatkan oleh Khalifah Umar bin Al Khattab R.A.

Mari kita menjadi bangsa yang insaf dengan muhasabah diri, bagaimana bangsa Arab yang berjumlah ratusan juta, di tengah kekayaan hasil minyak yang tidak terkira, dipermainkan oleh kuasa Barat yang pernah menjajah mereka. Mereka tidak mampu berdepan dengan segelintir bangsa Yahudi zionis yang diletakkan oleh penjajah bagi menjaga kepentingannya di Asia Barat. Ini kerana mereka berpaksikan kebangsaan Arab dan meminggirkan Islam di belakang mereka. Satu agenda penjajahan pemikiran yang sengaja dirancang begitu rupa.

Hari ini bangsa Arab mula sedar dan bangkit bersama Islam dengan memulakan kemenangan Islam secara aman melalui pilihanraya yang adil setelah ditekan oleh pemimpin bangsa sendiri secara kuku besi.

Umno adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat dengan cara Umno. Islam cara Umno tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan. Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk.

PAS terima hakikat masyarakat majmuk

Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah di tanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu yang lebih dahulu yang bercampur dengan kaum pribumi berada di tanahair ini. Penjajah membawa kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan penjajah Barat. Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir di kawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula menjadi buruh di lombong-lombong dan sebahagiannya di bandar dan kaum India menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan di antara satu sama lain, untuk terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah selepas merdeka.

Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang dan saksama diantara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar. Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh di belakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara nyata di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai Barat dan Malaysia Timur. Semua negeri-negeri ini pada awalnya dipimpin oleh Umno yang bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam.

Umno sebenarnya yang bermasalah

Malangnya Umno menyalahkan pihak lain, khususnya PAS yang tidak bersama Umno sejak menentang penjajah dan cara mencapai kemerdekaan dan mengurus negara. Umno meletakkan Islam di samping atau di belakang tanpa kuasa secara warisan penjajah yang merancang untuk melemahkan umat Islam mengikut kajian para orentalis. Akhirnya orang Melayu bukan sahaja terus dalam keadaan lemah, tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi di bumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan bumiputera, bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesedaran berpolitik. Pemimpin yang tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit zalim dan fasad. Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemungkaran dalam segala aspek saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan masyarakat.

Pemimpin utama Umno sendiri sudah mengaku adanya penyakit yang kronik dalam diri parti Umno. Politik rasuah (wang) membarah dalam diri sendiri dan menyebarkannya kepada orang Melayu untuk mendapat sokongan, mengampu dan menipu sesama sendiri. Maka orang Melayu dalam bahaya bersama Umno .

Ketinggalan orang Melayu dalam politik Singapura di tahun lima puluhan dan enam puluhan adalah di bawah pimpinan Umno. Tertinggalnya orang Melayu di Pulau Pinang adalah di bawah Umno juga. Umno menyelamatkan kedudukan dengan mengasak orang Melayu dengan kawasan pilihanraya campuran bagi memenangkan rakan kongsinya daripada kaum lain setelah parti itu kalah di kawasan mereka.

Mereka menekan bangsa sendiri yang menegurnya dan tidak bersamanya, dengan menindas negeri Melayu yang tidak berpihak kepada Umno. Tindakan menafikan hak royalti minyak terhadap Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu serta melambatkan bayaran perkapita. Begitu juga dengan Kedah. Ini adalah contoh nyata Umno menindas negeri Melayu.

Umno juga mengapi-apikan semangat perkauman Melayu sehingga tegang hubungan dengan kaum lain, seterusnya orang Melayu dilekakan dengan wang, media yang menipu dan melalaikan mereka. Ketika bangsa lain berpolitik secara matang dengan kefahaman merancang masa depan yang jauh. Namun orang Melayu berpolitik diajar oleh Umno untuk mencari peluang beberapa hari dimusim pilihanraya sehingga lupa menjadi mangsa setiap lima tahun sehingga lebih lima puluh tahun terus ketinggalan.

Sudah tiba masanya orang Melayu memberi peluang kepada Umno berehat atau bersara atau berhenti terus. Ucapan berapi dalam perhimpunan Agung Umno baru-baru ini lebih banyak membedil diri sendiri, bukan sahaja ada yang menikam dari belakang bahkan ada yang berani menikam secara berhadapan. Walaupun pada zahirnya menyerang lawan dan kawan. Yang tidak faham bertepuk tangan syok sendiri sehingga membengkak tangan. Adapun yang faham pula berubah wajah kerana kebimbangan bahteranya menunggu karam ditebuk kelasi sendiri.

Umat mesti diselamatkan

PAS berulangkali mengajak Umno bermuzakarah secara ilmu Islam dan adabnya bagi menyelamatkan umat dan negara dengan Islam, bukan berbincang untuk bersama memikul biawak hidup yang diternak oleh Umno. Mengajak kepada Islah sekadar kemampuan, kerana bukan cara menyelamatkan negara dengan mengapi-apikan semangat perkauman yang menegangkan hubungan diantara kaum dan agama. Caranya ialah dengan konsep adil untuk semua dan menjaga hak masing-masing secara adil, serta ruang demokrasi dengan batas-batas dan sempadannya yang sebenar secara ikhlas, bukan secara menipu. PAS percaya Islam adalah hujah yang terkuat daripada Allah S.W.T kerana Islam adalah Rahmat Allah kepada seluruh alam.

Tulisan ini bukan menjaga tepi kain orang lain, tetapi hanya peringatan kepada mereka yang kainnya sudah parah terkoyak, sehingga menampakkan kecacatan yang memalukan.

Sumber: http://www.niknasri.com/wp-content/uploads/2011/12/SURAT-TERBUKA-KEPADA-ORANG-MELAYU.pdf

Kahwin PAS dan UMNO?

Para pesorak UMNO dan pimpinannya nampaknya masih lagi berharap agar PAS dapat bersatu dengan UMNO. Selepas Mat Sabu naik menggantikan Nasarudin Mat Isa sebagai Naib Presiden PAS, impian UMNO untuk bergabung dengan PAS bagai mimpi siang hari. Mat Sabu bagaikan satu ‘bala’ jika ada dari pihak UMNO yang merisik PAS untuk disatukan.

Unity Government (Kerajaan Perpaduan) yang digemburkan oleh pesorak UMNO sebelum Muktamar PAS yang lepas hilang sekelip mata apabila perwakilan PAS seluruh Malaysia memilih muka lama yang dibenci UMNO naik takhta semula. Kalau dahulu dimomokkan bahawa TG Haji Hadi dan Nasarudin Mat Isa menjadi jambatan pihak UMNO untuk merisik PAS bergabung, tetapi selepas Mat Sabu naik, kini Hassan Ali pula menjadi manga.

Aku agak kurang faham kenapa Editor Kanan Utusan, Zaini Hassan, beriya-iya benar menaikkan Hassan Ali sebagai ‘penyelamat’ Melayu di Selangor dengan mendakwa bahawa Hassan Ali mampu untuk mengahwinkan PAS dengan UMNO, dengan alasan bahawa Selangor kini dibawah ‘kuasa’ DAP yang akan memusnahkan harapan Melayu di Selangor dan alasan kedua bahawa Hassan Ali mampu untuk menyatukan Melayu di Selangor. Wah!.. nama baru dari lidah UMNO untuk merosakkan dalaman PAS. Satu agenda strategik UMNO bagi merampas semula Selangor melalui pergolakan dalaman Pakatan Rakyat (PR) dan PAS.

Pada pendapat aku penganugerahan darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Hasan Ali adalah disebabkan oleh kerja Hassan Ali sebagai EXCO Kanan Selangor yang cemerlang. Hassan Ali bekerja untuk rakyat dan bukannya bekerja untuk parti semata-mata. Walaupun kadang-kadang ada ketikanya pendapat Hassan Ali itu berlawanan dengan pendapat pimpinan PR, tetapi ia tidak bermaksud Hassan Ali tidak bersama dengan PAS dan PR. Tidak perlulah Utusan mengambil peluang untuk menghuru-harakan ‘penganugerahan’ ini kononnya Sultan mahu Selangor ‘diselamatkan’ oleh ‘penguasaan’ DAP di Selangor.

Persoalan yang aku mahu rungkai tetapi susah untuk dirungkai ialah, adakah Selangor perlu diselamatkan?, siapa yang merosakkan Selangor?, apa bukti bahawa Selangor perlu diselamatkan?, adakah dengan penganugerahan Hassan Ali oleh Sultan membolehkan Hassan Ali menjadi ‘Superman’ di Selangor untuk menyelamatkan negeri itu?

Utusan sejak dari dahulu hingga kini biasa dengan berita ‘lucah’ dan cerita fitnah yang merosakkan kesatuan Melayu itu sendiri. Masakan seorang pemfitnah mahu dipercayai kata-katanya?

[Edisi AGM UMNO 2011]: Harapan Dan Maki Hamun.

Masih ingat dalam memori aku pada awal penglibatan bidang keusahawanan. Secara ringkas, aku bukanlah dari keluarga yang kaya, jadi untuk memulakan perniagaan perlu ada modal. Pada waktu tu zaman pemerintahan Pak Lah sebagai PM, bidang perniagaan dan keusahawanan menjadi salah satu agenda kerajaan membantu rakyat. MDeC, MARA, TEKUN, PUNB dll sebagai platform pemula bagi bakal usahawan menjadi usahawan yang berjaya.

Berbekalkan info itu, aku dan isteri mengambil peluang untuk mendapat bantuan kerajaan bagi memulakan perniagaan. TEKUN menjadi pilihan kerana tak perlu banyak prosedur kertas kerja diperlukan, setakat bukti akaun semasa, perjanjian sewa premis, dan bukti pendaftaran syarikat di SSM sudah mencukupi.

Aku pernah dengar desas-desus yang mengatakan kalau nak buat pinjaman di TEKUN perlu jadi ahli UMNO. Tapi aku tak pikir sangat pasal tu, masih bersangka baik. Selepas memenuhkan borang permohonan, aku pergi ke TEKUN. Di sana, aku disoal pegawai untuk mendapatkan tandatangan YB atau Ketua Bahagian UMNO. Aku terus buat apa yang dikehendaki. Sampai di pejabat YB, pegawai di situ bertanya adakah aku ahli UMNO, jika tidak, aku perlu daftar keahlian sebelum borang mendapat tandatangan YB. Desas-desus rupanya benar. Aku sendiri merasainya.

Zaman Najib menjadi PM, satu kejutan buat orang seperti aku kerana Najib secara sengaja telah menggugurkan Kementerian Keusahawanan dari kabinet. Secara tidak langsung, talian hayat usahawan bumiputera khasnya hilang. Pada waktu ini, UMNO sepatutnya membincangkan survival orang Melayu yang menjadi teras perjuang mereka. Bukan memaki hamun pembangkang.

Harapan rakyat Malaysia bukan setakat mahukan beras sekampit waktu kempen pilihanraya. Tetapi mahukan kerajaan membela mereka. Mereka mahukan penekanan diberikan kepada bumiputera untuk menyaingi kaum lain dalam sektor ekonomi negara. Kerana UMNO pada waktu ini adalah parti komponen yang memerintah negara. UMNO mempunyai kuasa untuk menentukan masa depan orang Melayu di negara ini.

AGM kali ini tampak tiada harapan untuk rakyat Malaysia. Harapan bagaikan kabus pagi yang hilang tika tengahari menjelang. Pengisian AGM dipenuhi kata-kata maki hamun kepada pembangkang. Hampir semua pucuk pimpinan mengeluarkan ide-ide memusuhi pembangkang dalam ucapan mereka. Bahkan hampir tiada dari pemimpin mereka yang menjawab isu-isu yang terpalit di muka mereka.

Melihat senario ini kelihatan UMNO sedang nazak untuk memulihkan reputasi mereka. Ayat-ayat ucapan untuk menarik kembali keyakinan rakyat kepada UMNO dah tiada isi. Malah ada antara isi kandung ucapan pemimpin tertinggi seperti memperlihatkan pembaca ucapan sebagai bodoh dan jahil. Tidak tahu apa yang mereka ucapkan. Akhirnya menjadi bahan gelak ketawa audien yang mengikuti AGM mereka.

Harapan mengganti maki hamun. Mungkin UMNO merasai tekanan yang mereka hadapi dari Pakatan Rakyat. Tekanan oleh janji-janji harapan PR kepada rakyat lebih nampak realiti dari retorik janji-janji UMNO yang lebih 50 tahun memerintah tetapi keadaan rakyat makin tahun makin sempit dan susah.

Apa yang aku lihat AGM UMNO kali ini berbeza dari Muktamar PAS yang lepas yang banyak membincangkan mengenai masa depan parti, bukan semata-mata survival politik. Mungkin patut tajuk ucapan Naib Presiden UMNO ditukar, dari “Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad” kepada “Menunjangi Survival UMNO: Suatu Jihad“.

[Penulisan artikel dihantar kepada WordPress melalui Blackberry Device]

[Edisi AGM UMNO 2011]: Ucapan Dasar Yang Pelik

Baru sebentar tadi aku baru habis baca Ucapan Dasar Presiden UMNO. Ucapan yang penuh keyakinan. Madah pujangga, sejarah Islam dan Tanah Melayu, kata motivasi tinggi memenuhi perenggan-perenggan ucapan dasar AGM, tetapi agak terkantoi diakhir ucapan apabila Presiden membuka pekung di dada.. Secara sengaja atau tak sengaja?.. haha.

Ucapan berbunyi, “Manakala contoh ketiga, adalah Parti C, yang kononnya memperjuangkan negara kebajikan. Lahawlawala…., jawatan Mursyidul Am pun, tampaknya tidak diundi secara demokratik, tetapi ternyata lebih berkuasa dari Presiden“.

Haha.. Maaf aku tergelak. Tapi apakan daya kerana kelawakan ucapan dasar ini beserta kejahilan mengenai sistem dan kaedah jawatan parti lawan. Masakan jawatan Mursyidul Am perlu diundi? Jawatan itu pilihan Majlis Syura. Sistem yang sama digunakan di Iran dimana Ayatullah Khomeini sebagai “Ketua Pemerintah” dan ia lebih berkuasa dari Presiden Iran iaitu Ahmadineijad.

Senang cerita, pembaca ucapan tak tau apa-apa mengenai lawannya… Itu PM Malaysia rupanya…

[Penulisan artikel dihantar kepada WordPress melalui Blackberry Device]

[Edisi BERSIH 2.0] Perlembagaan Persekutuan: Pagar Makan Padi VS Ambiga Makan Padi

Don’t hate the player, but hate the game. Itu madah yang rasanya sesuai untuk aku gunakan dalam entry ini. Banyak makna boleh ditakrif dalam madah ini, dan dalam entry kali ini aku mahu baca pembaca kepada Perlembagaan PersekutuanFederal Constution (FC) – yang menjadi undang-undang tertinggi negara Malaysia.

Secara ringkas FC adalah perlembagaan Malaysia yang dibentuk dari perlembagaan Britian atau lebih dikenali sebagai Lord Reid. FC menjadi perlembagaan Malaysia yang diiktiraf British sebagai satu perlembagaan untuk bekas tanah jajahan mereka yang mahukan kemerdekaan. Perbezaan antara FC Malaysia dan FC Britain adalah agama Islam menjadi agama rasmi dan Sultan/Raja/YDPA adalah ketua agama Islam.

Siapa Ambiga?

Aku pun tak kenal dia. Aku kenal Ambiga ni apabila terbaca headline Utusan Malaysia beberapa minggu yang lepas. Ambiga adalah seorang Peguam yang mempercayai dan memperjuangkan Hak Asasi Manusia. Bila sebut Hak Asasi Manusia ini aku menjadi agak anti sedikit, bukannya aku anti perjuangan tersebut, tetapi kadang-kadang terdapat perjuangan mereka ini melepasi batas agama. Dalam kes ini, Ambiga pernah menjadi peguam Lina Joy yang mengaku murtad dan mahu membuang status agama Islam dari dalam kad pengenalannya. Malah Ambiga menjadi salah seorang penyokong IFC (Inter Faith Comission) yang memang ditentang aku malah seluruh orang Islam marah dengan wujudnya badan ini. Tetapi anda jangan lupa bahawa IFC juga disokong oleh Sister In Islam dimana antara ahli-ahlinya adalah nama-nama besar di negara ini.

Adakah aku marah?, Ya, aku marah dengan orang seperti itu. Tapi apa yang aku boleh buat?, Ambiga buat perkara tersebut sebab dia faham undang-undang, dia faham FC dan dia menggunakannya FC sebagai wadah bagi dia untuk mendapatkan hak – hak asasi manusia yang terkandung dalam FC itu sendiri. Itu kelompongan FC untuk manjadi perisai agama Islam walaupun Agama Islam itu agama rasmi negara ini.

Ambiga dan BERSIH 2.0

Pada permulaan BERSIH diadakan, BERSIH dianjurkan oleh PAS bagi menuntut keadilan dan ketelusan pilihanraya dari SPR. Selepas perhimpunan BERSIH 1.0 selesai, PAS “menyerahkan” BERSIH badan NGO yang dikenali  “Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adila.k.a BERSIH agar dapat menguruskan BERSIH dengan lebih berkesan. Dalam BERSIH 2.0, NGO ini menganjurkan perhimpunan dan secara sepakat telah melantik Ambiga sebagai Ketua dan Muhammad Sabu (Timbalan Presiden PAS) sebagai Penolongnya dan kebanyakan ahlijawatankuasanya terdiri orang-orang politik dan juga NGO. Pakatan Rakyat tidak ketinggalan menjadi salah satu penyokong NGO ini.

Dalam Bahagian II (Kebebasaan Asasi) Perkara 10 (Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan), menyatakan hak untuk berhimpun secara aman dan hak asasi manusia telah digunakan pakai bagi menganjurkan perhimpunan BERSIH 2.0. Sekali lagi Ambiga diberi peluang untuk menggunakan ilmunya bagi menuntut hak rakyat melalui FC tersebut. Kekuatan FC ini menjadi perisai rakyat untuk menuntut hak mereka. Ya, kali ini aku menyokongnya kerana BERSIH 2.0 menuntut hak aku sebagai pemilih.

Kelompongan dan Kekuatan FC

Dua situasi yang berbeza pada pendirian aku juga yang berbeza, tetapi berpunca pada sumber yang sama iaitu FC. FC yang kita gunapakai boleh menjadi perisai dan juga senjata berbahaya menentang kita. Suka atau tidak itulah hakikatnya bagaikan peribahasa “harapkan pagar, makan makan padi“. Itulah sebabnya pada permulaan tulisan ini aku menyatakan “Don’t hate the player, but hate the game” kerana “player” adalah kita = rakyat, manakala “game” itu adalah FC yang dijulang. Kepada penyokong BN anda perlu muhasabah diri sendiri dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang merapu dan akhirnya terpalit pada hidung sendiri. Mereka yang menjulang FC, mereka juga marahkan IFC, mereka juga menentang BERSIH, tetapi mereka mengaku sebagai rakyat Malaysia dengan melaungkan rukun negara “Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang” tetapi dalam masa yang sama mereka merogol FC itu sendiri. Jangan marahkan Ambiga, PAS, PKR, penyokong BERSIH atau sesiapa sahaja yang berbeza pendapat dengan anda, tetapi marahkan undang-undang yang anda julang sekarang ini.

Jelas di sini, hukum FC tak boleh dipakai lagi. Jika mahukan perubahan yang adil dan saksama perlu kembali kepada Al-Quran dan Sunnah. Memang susah nak meng”Islam”kan FC, tetapi tak susah untuk mengajar orang tentang Islam. Tetapi semua boleh diubah, hanya Al-Quran sahaja yang tak dapat diubah kerana Al-Quran sesuai sepanjang zaman, bukan Al-Quran mengikut zaman, tetapi zaman mengikut Al-Quran.

Pesanan untuk orang UMNO dan penyokongnya, cuba sedarkan diri anda, apa yang anda perjuangkan dalam UMNO untuk menaikkan Al-Quran sebagai FC?