Category Archives: Bebas
Surat Terbuka Kepada Orang Melayu: “ISLAM DIDAHULUKAN, MELAYU BERSAMANYA”
Oleh: Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Muqaddimah
Islam didahulukan, Melayu bersamanya. Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan di atas aqidah kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. Inilah kecuaian Umno sejak ditubuhkan sehingga kini.
Kecintaan kepada keluarga, kaum dan bangsa adalah fitrah yang digalakkan oleh Islam, tetapi menjadikannya aqidah perjuangan adalah satu kesesatan. Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan dengan keluarga dan kaumnya, tetapi dengan aqidah dan berpandukan Islam.
Rasulullah S.A.W. adalah ikutan yang dilantik oleh Allah, bukan dilantik melalui pilhanraya atau perhimpunan agung mana-mana parti. Apabila Rasulullah S.A.W. dilantik menjadi Rasul akhir zaman kepada seluruh alam, dipilih daripada kalangan bangsa Arab qabilah Quraisy, paling jahil, miskin dan berada di tengah padang pasir paling gersang, tetapi menjadi paling sabar, berani dan paling lasak menghadapi cabaran kalau ditarbiyah.
Paksinya Islam, bukan bangsa
Bangsa Arab seluruhnya berpecah dan berperang sesama sendiri. Semenanjung Arab, tanah air mereka dijajah oleh kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Persoalannya apakah yang didahulukan oleh Rasulullah S.A.W? Sama ada memulakan perjuangan di atas semangat kebangsaan Arab, satukan mereka terlebih dahulu di atas semangat kebangsaan itu, tegakkan perjuangan kemerdekaan menentang penjajah Parsi dan Rom, selepas itu Islam boleh tegak dengan sendiri bersamanya. Atau mulakan dengan Islam, perkasakan bangsa Arab dengan Islam yang sempurna, aqidah, syariat dan akhlak?
Ucapan pertama disampaikan kepada penduduk Makkah dengan arahan wahyu daripada Allah bermaksud (Al-A’raf: 158):
Katakanlah: “Hai manusia Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah Dia, supaya kamu mendapat petunjuk.
Bukan dengan seruan “Hidup Arab Islam selamat!”, hanya bangsa Arab yang boleh menegakkan Islam, macam slogan Umno: “Hidup Melayu!”.
Tegasnya bahawa Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan mengajak bangsa mengikut Islam, bagi memerdekakan diri daripada jahiliyah dalam diri sendiri terlebih dahulu dengan bangsanya mengikut Islam. Walaupun mendapat tentangan hebat daripada pemimpin kaum bangsa dan keluarganya sendiri, sehingga dihalau daripada tanah air tempat dilahirkannya (Makkah). Kemudian menggunakan kuasa pemerintahan Islam yang ditegakkan oleh kaumnya yang menerima Islam dengan beriman mengikutnya dengan sempurna dan mengumpul serta menyatukan mereka dengan Islam. Kemudian kembali semula ke Makkah untuk memerdekakannya daripada kuasa pemerintahan jahiliyah Arab yang dipimpin oleh ayah mertuanya sendiri Abu Sufian bin Harb.
Islam diamal dan disampaikan
Allah mewafatkan Rasulullah S.A.W. setelah ajaran Islam disempurnakan secara wahyu serta cara beramalnya dinyatakan oleh Sunnah Rasulullah S.A.W. dan setelah menyampaikan mesej Islam secara bersurat yang dihantar kepada negara dan bangsa yang bukan Arab. Ada yang menerima Islam, ada yang tidak menerima tetapi berdamai dan ada yang mengambil sikap permusuhan.
Sebelum wafat Rasulullah S.A.W. Allah menegaskan kepadanya secara wahyu kepada bangsa Arab yang menganut Islam supaya berpandukan Islam, di antaranya Allah memberi amaran (Muhammad: 38):
Jika kamu berpaling (dari menegakkan Islam) nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.
Kepimpinan Islam diteruskan
Khalifah Abu Bakar mengambil alih memimpin negara menentang bangsa Arab yang murtad (berpaling tadah menentang Islam). Penyelewengan berlaku dengan bantuan penjajah Parsi dan Rom. Setelah Khalifah Abu Bakar berjaya mengalahkan bangsa Arab yang murtad maka dimulakan dakwah mengajak kaum lain kepada Islam tanpa paksaan.
Dua kuasa besar dunia menentang secara ketenteraan kerana menganggap bangsa Arab yang menganut Islam itu masih lemah seperti sebelum Islam. Tiba-tiba dua kuasa besar dunia ikut tumbang kerana jahiliyyahnya, walau pun mereka maju dari segi kebendaannya, tetapi dibejati kezaliman dan maksiat. Khalifah Umar R.A. yang berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia itu menyampaikan ucapannya ketika berada di Kota Suci Bait Al Maqdis:
Kita adalah bangsa yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain dari apa yang telah dikurnia Allah, nescaya kita akan ditimpa hukuman Allah menjadi bangsa yang hina.
Arab hebat apabila berpegang dengan Islam
Ketika bangsa Arab yang menganut Islam masih berpegang dengan ajaran Islam, mereka terus memimpin negara yang paling besar dalam sejarah, bersama masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama. Mereka mengislamkan bangsa lain tanpa paksaan dan mengislam ilmu serta kebijaksanaan daripada berbagai bangsa, sehingga melahirkan tamadun Islam yang paling hebat dalam sejarah manusia.
Apabila bangsa Arab menjadi leka terhadap Islam, maka Allah menukarkan bangsa bukan Arab yang menganut Islam dan berpandukan Islam serta menegakkannya. Bangsa lain mengambil alih pemerintahan telah melahirkan ilmuan Islam dan pemimpin negara. Manakala bangsa Arab menjadi rakyat di bawah pemerintahan Islam, oleh para ulama dan pemimpin bukan berbangsa Arab, seperti Kurdis, Turki, Bukhara dan lain-lain.
Melayu juga hebat dengan Islam
Bangsa Melayu di Asia Tenggara turut sama menjadi bangsa yang perkasa apabila mereka menganut Islam dan raja-rajanya memerintah dengan Islam. Bahasa Melayu berhuruf Al Quran bertamadun menjadi bahasa ilmu dirantau ini.
Kedatangan penjajah yang mampu menguasai dunia Islam, termasuk dunia Melayu di rantau ini apabila mereka lemah berpegang dengan ajaran Islam. Cahaya Islam yang sedikit tidak boleh dipadamkan masih bersuluh membangkitkan perjuangan menentang penjajah.
Walaupun penjajah asing sudah meninggalkan tanahair kita, tetapi kesan daripadanya masih wujud dengan tebal. Kita tidak dapat mengembalikan jati diri malainkan dengan kembali menjadikan Islam tertegak di hadapan kita yang menjadi panduan seluruh cara hidup beragama dan bermasyarakat. Ini seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dengan petunjuk Allah dan diperingatkan oleh Khalifah Umar bin Al Khattab R.A.
Mari kita menjadi bangsa yang insaf dengan muhasabah diri, bagaimana bangsa Arab yang berjumlah ratusan juta, di tengah kekayaan hasil minyak yang tidak terkira, dipermainkan oleh kuasa Barat yang pernah menjajah mereka. Mereka tidak mampu berdepan dengan segelintir bangsa Yahudi zionis yang diletakkan oleh penjajah bagi menjaga kepentingannya di Asia Barat. Ini kerana mereka berpaksikan kebangsaan Arab dan meminggirkan Islam di belakang mereka. Satu agenda penjajahan pemikiran yang sengaja dirancang begitu rupa.
Hari ini bangsa Arab mula sedar dan bangkit bersama Islam dengan memulakan kemenangan Islam secara aman melalui pilihanraya yang adil setelah ditekan oleh pemimpin bangsa sendiri secara kuku besi.
Umno adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat dengan cara Umno. Islam cara Umno tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan. Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk.
PAS terima hakikat masyarakat majmuk
Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah di tanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu yang lebih dahulu yang bercampur dengan kaum pribumi berada di tanahair ini. Penjajah membawa kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan penjajah Barat. Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir di kawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula menjadi buruh di lombong-lombong dan sebahagiannya di bandar dan kaum India menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan di antara satu sama lain, untuk terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah selepas merdeka.
Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang dan saksama diantara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar. Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh di belakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara nyata di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai Barat dan Malaysia Timur. Semua negeri-negeri ini pada awalnya dipimpin oleh Umno yang bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam.
Umno sebenarnya yang bermasalah
Malangnya Umno menyalahkan pihak lain, khususnya PAS yang tidak bersama Umno sejak menentang penjajah dan cara mencapai kemerdekaan dan mengurus negara. Umno meletakkan Islam di samping atau di belakang tanpa kuasa secara warisan penjajah yang merancang untuk melemahkan umat Islam mengikut kajian para orentalis. Akhirnya orang Melayu bukan sahaja terus dalam keadaan lemah, tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi di bumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan bumiputera, bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesedaran berpolitik. Pemimpin yang tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit zalim dan fasad. Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemungkaran dalam segala aspek saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan masyarakat.
Pemimpin utama Umno sendiri sudah mengaku adanya penyakit yang kronik dalam diri parti Umno. Politik rasuah (wang) membarah dalam diri sendiri dan menyebarkannya kepada orang Melayu untuk mendapat sokongan, mengampu dan menipu sesama sendiri. Maka orang Melayu dalam bahaya bersama Umno .
Ketinggalan orang Melayu dalam politik Singapura di tahun lima puluhan dan enam puluhan adalah di bawah pimpinan Umno. Tertinggalnya orang Melayu di Pulau Pinang adalah di bawah Umno juga. Umno menyelamatkan kedudukan dengan mengasak orang Melayu dengan kawasan pilihanraya campuran bagi memenangkan rakan kongsinya daripada kaum lain setelah parti itu kalah di kawasan mereka.
Mereka menekan bangsa sendiri yang menegurnya dan tidak bersamanya, dengan menindas negeri Melayu yang tidak berpihak kepada Umno. Tindakan menafikan hak royalti minyak terhadap Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu serta melambatkan bayaran perkapita. Begitu juga dengan Kedah. Ini adalah contoh nyata Umno menindas negeri Melayu.
Umno juga mengapi-apikan semangat perkauman Melayu sehingga tegang hubungan dengan kaum lain, seterusnya orang Melayu dilekakan dengan wang, media yang menipu dan melalaikan mereka. Ketika bangsa lain berpolitik secara matang dengan kefahaman merancang masa depan yang jauh. Namun orang Melayu berpolitik diajar oleh Umno untuk mencari peluang beberapa hari dimusim pilihanraya sehingga lupa menjadi mangsa setiap lima tahun sehingga lebih lima puluh tahun terus ketinggalan.
Sudah tiba masanya orang Melayu memberi peluang kepada Umno berehat atau bersara atau berhenti terus. Ucapan berapi dalam perhimpunan Agung Umno baru-baru ini lebih banyak membedil diri sendiri, bukan sahaja ada yang menikam dari belakang bahkan ada yang berani menikam secara berhadapan. Walaupun pada zahirnya menyerang lawan dan kawan. Yang tidak faham bertepuk tangan syok sendiri sehingga membengkak tangan. Adapun yang faham pula berubah wajah kerana kebimbangan bahteranya menunggu karam ditebuk kelasi sendiri.
Umat mesti diselamatkan
PAS berulangkali mengajak Umno bermuzakarah secara ilmu Islam dan adabnya bagi menyelamatkan umat dan negara dengan Islam, bukan berbincang untuk bersama memikul biawak hidup yang diternak oleh Umno. Mengajak kepada Islah sekadar kemampuan, kerana bukan cara menyelamatkan negara dengan mengapi-apikan semangat perkauman yang menegangkan hubungan diantara kaum dan agama. Caranya ialah dengan konsep adil untuk semua dan menjaga hak masing-masing secara adil, serta ruang demokrasi dengan batas-batas dan sempadannya yang sebenar secara ikhlas, bukan secara menipu. PAS percaya Islam adalah hujah yang terkuat daripada Allah S.W.T kerana Islam adalah Rahmat Allah kepada seluruh alam.
Tulisan ini bukan menjaga tepi kain orang lain, tetapi hanya peringatan kepada mereka yang kainnya sudah parah terkoyak, sehingga menampakkan kecacatan yang memalukan.
Sumber: http://www.niknasri.com/wp-content/uploads/2011/12/SURAT-TERBUKA-KEPADA-ORANG-MELAYU.pdf
Kahwin PAS dan UMNO?
Para pesorak UMNO dan pimpinannya nampaknya masih lagi berharap agar PAS dapat bersatu dengan UMNO. Selepas Mat Sabu naik menggantikan Nasarudin Mat Isa sebagai Naib Presiden PAS, impian UMNO untuk bergabung dengan PAS bagai mimpi siang hari. Mat Sabu bagaikan satu ‘bala’ jika ada dari pihak UMNO yang merisik PAS untuk disatukan.
Unity Government (Kerajaan Perpaduan) yang digemburkan oleh pesorak UMNO sebelum Muktamar PAS yang lepas hilang sekelip mata apabila perwakilan PAS seluruh Malaysia memilih muka lama yang dibenci UMNO naik takhta semula. Kalau dahulu dimomokkan bahawa TG Haji Hadi dan Nasarudin Mat Isa menjadi jambatan pihak UMNO untuk merisik PAS bergabung, tetapi selepas Mat Sabu naik, kini Hassan Ali pula menjadi manga.
Aku agak kurang faham kenapa Editor Kanan Utusan, Zaini Hassan, beriya-iya benar menaikkan Hassan Ali sebagai ‘penyelamat’ Melayu di Selangor dengan mendakwa bahawa Hassan Ali mampu untuk mengahwinkan PAS dengan UMNO, dengan alasan bahawa Selangor kini dibawah ‘kuasa’ DAP yang akan memusnahkan harapan Melayu di Selangor dan alasan kedua bahawa Hassan Ali mampu untuk menyatukan Melayu di Selangor. Wah!.. nama baru dari lidah UMNO untuk merosakkan dalaman PAS. Satu agenda strategik UMNO bagi merampas semula Selangor melalui pergolakan dalaman Pakatan Rakyat (PR) dan PAS.
Pada pendapat aku penganugerahan darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Hasan Ali adalah disebabkan oleh kerja Hassan Ali sebagai EXCO Kanan Selangor yang cemerlang. Hassan Ali bekerja untuk rakyat dan bukannya bekerja untuk parti semata-mata. Walaupun kadang-kadang ada ketikanya pendapat Hassan Ali itu berlawanan dengan pendapat pimpinan PR, tetapi ia tidak bermaksud Hassan Ali tidak bersama dengan PAS dan PR. Tidak perlulah Utusan mengambil peluang untuk menghuru-harakan ‘penganugerahan’ ini kononnya Sultan mahu Selangor ‘diselamatkan’ oleh ‘penguasaan’ DAP di Selangor.
Persoalan yang aku mahu rungkai tetapi susah untuk dirungkai ialah, adakah Selangor perlu diselamatkan?, siapa yang merosakkan Selangor?, apa bukti bahawa Selangor perlu diselamatkan?, adakah dengan penganugerahan Hassan Ali oleh Sultan membolehkan Hassan Ali menjadi ‘Superman’ di Selangor untuk menyelamatkan negeri itu?
Utusan sejak dari dahulu hingga kini biasa dengan berita ‘lucah’ dan cerita fitnah yang merosakkan kesatuan Melayu itu sendiri. Masakan seorang pemfitnah mahu dipercayai kata-katanya?
Aurat Wanita: Telekung Solat
Ada sesetengah wanita Islam di luar sana mengakui telah menutup aurat sepenuhnya, akan tetapi kain masih terbelah, dada masih menonjol, bahagian punggung masih nampak alur seluar dalam. Malah ada yang memakai tudung, tetapi masih nampak rambut dan telinga kerana kain tudung agak nipis.
Satu persoalan untuk aku kongsi bersama para pembaca blog ini terutamanya mereka dari golongan wanita Islam Malaysia. Persoalannya ialah, “Jika anda mengatakan telah menutup aurat dengan sempurna, perlukah anda memakai telekung semasa solat?“.
Perkara ini berbeza jika kita lihat wanita Islam dari Timur Tengah, mereka menggunakan pakaian harian semasa mendirikan solat. Ketiadaan telekung di tempat solat wanita tidak menjadi masalah kerana mereka telah menutup aurat dengan sempurna.
Bagaimana pula di negara ini… Kenapa di setiap tempat solat wanita perlu telekung solat? Adakah wanita Islam Malaysia tidak menutup aurat?
Dalam permasalahan ini, aku tak salahkan pihak wanita Islam di Malaysia, mungkin kerana ‘kebiasaan’ bagi mereka mengenakan telekung semasa mendirikan solat, tetapi jika mereka telah menutup aurat secara sempurna tanpa mendedahkan aurat (termasuk bentuk badan), mungkin mereka boleh terus mendirikan solat tanpa telekung.
Bayangkan jika mereka berpakaian kebaya pendek dengan bertudung (Kebiasaan kita pakaian itu dikatakan telah menutup aurat), dan mereka mendirikan solat dengan keadaan begitu tanpa bertelekung… Apa yang anda fikirkan?, Dan bagaimana pandangan Allah Ta’ala pula?.
Mungkin kini tiba masanya anda (wanita Islam Malaysia) menutup aurat secara sempurna, kerana Allah Ta’ala tidak melihat kita semasa kita mendirikan solat, tetapi Dia melihat kita setiap masa.
Tepuk dada, tanyalah iman…
[Penulisan artikel dihantar kepada WordPress melalui BlackBerry Device]
AGM UMNO 2011 = Maharaja Lawak
Bertemu dengan seorang Pakcik di tempat solat di mana aku menjalankan aktiviti semalam di satu karnival tahunan di Kuala Lumpur.
Pakcik: Panas sungguh hari ni. Awak tak rimas ke pakai baju hitam macam ni.
Aku: Panas la sikit, tapi sebab peluh, jadi sejuk sikit.. Hehe. Pakcik dari mana, bunyi slang macam dari Sabah?
Pakcik: Ya.. Memang dari Sabah. Ada kerja sikit di KL.
Aku: Ada business meeting ke?
Pakcik: Tak ada lah.. (sambil tersenyum)
Aku: Atau Pakcik ni perwakilan UMNO kot? hehe. (sambung aku sambil berseloroh).
Pakcik: Itu orang gila saja yang pergi. Perhimpunan Raja Lawak… Haha. Cakap macam orang bodoh. Tiada akal.
Aku:(Dalam hati) Muahahaha.. Ada juga orang yang besependapat dengan aku… Hahaha.
[Penulisan artikel dihantar kepada WordPress melalui BlackBerry Device]
Buang dan Delete
Ada satu tajuk dalam blog ini terpaksa aku delete permanently. Maaf jika cari tak jumpa. Tak apa, nanti aku bagi artikel lain yang lebih menarik untuk tatapan pembaca bolg ini.
Kadang-kadang kesengalan beberapa pembaca blog ini membuat aku tersedar bahawa negara ini ketandusan ilmu sebenar. Maksud aku lebih kepada mereka yang cakap ikut kepala lutut dari memikirkan implikasi dari apa yang mereka katakan. Tuhan bagi mulut untuk berkata-kata, tetapi kebanyakan kata-kata itu menyakitkan hati dan yang paling sakit hati apabila kata-kata kita diputar-belit oleh mereka yang tidak bertanggungjawab demi keuntungan mereka. Kebiasaan perkara ini terjadi dalam kalangan masyarakat negara ini boleh dilihat dalam subjek politik, agama dan perkauman.
Politik
Tak payah cakap banyak la. Dimana sahaja orang akan cakap perkara ni. Baik di rumah, kedai kopi, universiti, tempat kerja dll. Politik bagaikan ‘agama’ kedua dalam diri, lebih teruk lagi jika adalah yang menjadikan ia sebagai agama dengan menolak agama asal demi pangkat, kekayaan dan nama. Semakin masyarakat pandai berfikiran kritikal, semakin busuk politik yang kita dengar seharian. Masalah akhlak tolak ketepi dengan alasan kemajuan perlu diberi keutamaan. Tetapi sejauh mana kemajuan boleh melentur akhlak menjadi lebih soleh?
Salahkan aku jika akau kata masyarakat di Amerika sentiasa berangan-angan dengan American Dream – kekeluargaan, anak hormati ibu dan bapa, ibubapa memahami anak-anak, semua berlandaskan agama dll. Tetapi hakikat sebenar tidak seperti yang diangankan. Remaja rosak akhlak, arak dan seks menjadi aktiviti rutin mereka. Tanpa segan silu ditayangkan setiap hari. Itukah kemajuan yang kita mahukan? Aku tak mahu… aku mahukan kemajuan jika akhlak itu bergerak seiringan. Tapi bolehkah itu berlaku?
Agama
Perkara sensitif kononnya. Dalam perlembagaan kata Islam agama rasmi negara, tetapi masih ada pihak yang cuba melanggarnnya. Mereka tidak takut kerana faktor agama diatasi oleh politik. Kerana bagi kebanyakan pemimpin negara ini mereka telah berfikrah politik itu agama. Agama hanya akan membawa kemunduran. Tetapi jika kitabnya boleh diubah dan boleh dibuat pelbagai versi baru dan lama mungkin agama ini boleh mengatasi politik – dimana agama boleh diubah ikut kesesuaian pemerintah. Mungkin itulah yang berada dalam otak mereka yang menjadikan politik itu agama.
Perkara ini bukanlah sejelas seperti aku katakan, tetapi yang tersurat dan tersirat boleh dibaca tanpa membacanya. Boleh dilihat tanpa melihatnya. Boleh dirasa tanpa merasanya. Persetankan kitab-kitab, tak perlu semua tu. Sabda pemerintah lebih utama, memansukhkan sabda Nabi. Percaya? betul?… anda boleh pikir sendiri.
Perkauman
Satu benda yang paling malas aku layan ialah perkauman. Nak cakap banyak pun aku malas, lebih-lebih lagi bila melibatkan ketuanan Melayu. Sejarah Melayu itu hebat, tetapi menjadi habat bila banyak Melayu tak reti berfikir, aku lebih rela mengaku Melayu Siam bila melihat kesungguhan, kesabaran, ketahanan mereka di Selatan Thai berbanding Melayu ditengah-tengah Malaya yang angguk-angguk, geleng-geleng. Entah kemana hilang semangat Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Bahaman dll, semua hilang kerana mengejar semangat Siti Nurhaliza, Akim, Mawi, Aizat dll… itulah Melayu…
[Edisi BERSIH 2.0] Menjawab Soalan-soalan Mereka
Sejak BERSIH 2.0 bermula, macam-macam tohmahan telah ditujukan kepada penyokong BERSIH. Sesekali ada juga aku menjawab tohmahan ini, tetapi ada juga yang aku biarkan mereka dengan labu-labunya. Bukan tak mahu jawab, tapi mereka bagai dungu. Beberapa kali telah dinyatakan kenapa perlunya perubahan dalam sistem Pilihanraya negara ini, tetapi mereka tetap tak faham.
Antara persoalan dan tohmahan yang sering dilemparkan kepada pihak penyokong BERSIH akan aku jawab dalan entry ini.
Tohmahan 1: Terdapat agenda politik yang tersembunyi dalam BERSIH.
Jawapan: Mungkin ya, mungkin juga tidak. Terpulang kepada individu itu menilai. Objektif BERSIH adalah untuk memperjuangkan Pilihanraya yang TELUS dan ADIL tanpa dikawal oleh mana-mana pihak yang berkuasa besar. Ini kerana Pilihanraya adalah hak rakyat untuk bersuara memilih pemerintah yang mereka percaya. Jika ada yang mengatakan ini adalah agenda politik PR, maka ia betul, tetapi dalam masa yang sama ia juga adalah salah. Penyokong BERSIH bukan terdiri daripada penyokong PR, tidak terkecuali anak mantan PM Tun Mahathir – Marina Mahathir – juga turut serta dalam perhimpunan ini. Secara logik akal, mahukah Marina Mahathir ini menyokong PAS, DAP atau PKR? Kalau kucing dah bertanduk belum tentu dia menyokong PR. Tapi yang jelas dia nampak kenapa perhimpunan ini diadakan. Perhimpunan BERSIH ini adalah suara rakyat. Bukan suara mana-mana parti politik.
Tohmahan 2: PR tak bersyukur sudah menang 5 negeri masih kata SPR tak telus.
Jawapan: Jikalau ini yang dijadikan kayu ukur ketelusan SPR dalam menjalankan tugas maka anda silap. Kemenangan ini sebenarnya mengatasi ketidaktelusan SPR. BN pada PRU-12 terlalu tertumpu kepada sikap ego mereka untuk menakluki Kelantan menyebabkan mereka terlepas pandang kepada negeri-negeri lain. Itu adalah kesilapan BN dan kemenangan ini adalah disebabkan kekuatan PR. Kini tumpuan mereka kepada Selangor kerana survival politik mereka banyak tertumpu kepada Selangor. Mungkin anda pernah mendengar kenyataan Najib Tun Razak, “Kita akan gunakan semua strategi untuk mengambil alih Selangor dari PR” – tumpukan pemikiran anda kepada “gunakan semua stategi” – ia bermakna by hooks or by crooks BN akan cuba mendapatkan Selangor semula.
Tohmahan 3: BERSIH memecah belah perpaduan rakyat Malaysia seperti tragedi 13 Mei.
Jawapan: Dalam perhimpunan BERSIH 2.0 ini bukan orang Melayu sahaja yang menyertainya. Seluruh rakyat Malaysia yang mencintai negera ini turut serta – Cina, India, Sikh dll – Tiada perpecahan tetapi hanyalah perpaduan dalam satu suara menuntut keadilan. BN memomokkan rakyat dengan darurat seperti tragedi hitam 13 Mei 1969 akan berlaku lagi jika perhimpunan ini diteruskan, tetapi BN lupa bahawa rakyat bukan lagi bodoh seperti mereka. Apa punca tragedi 13 Mei itu? Apa yang menyebabkan Ordinan Darurat dikuatkuasa? Adakah ini pernah ditanyakan dalam kotak pemikiran anda?. Secara jelas ramai yang tak tahu “The Untold Story” tentang tragedi 13 Mei itu. Aku secara kritis berfikir (mengikut teori aku sendiri) bahawa tragedi 13 Mei adalah berpunca kepada Perikatan (BN) pada masa itu. Modal kepada “perpecahan” dikalangan rakyat dijadikan modal besar Perikatan menguatkuasa Ordinan Darurat disebabkan kerana Kelantan jatuh ke tangan PAS. Perpecahan yang dimaksudkan adalah pecahnya undi Perikatan kepada PAS di Kelantan. Pada waktu itulah Perikatan berjaya memerintah Malaysia sepenuhnya – itulah tujuan sebenar Ordinan Darurat bagi Perikatan. Maka wujudlah kambing hitam dalam siri gelap 13 Mei yang dicipta Perikatan dan seterusnya menjadi kisah benar dalam buku teks Sejarah sekolah. Itulah yang dipercayai oleh ramai anak muda yang “3rd class mentality” dan mereka inilah yang menjadi survival politik BN sekarang.
Tohmahan 4: Penyokong BERSIH dari kalangan Penjawat Awam “tidak bersyukur” kerana makan gaji dengan Kerajaan.
Jawapan: “Bersyukur” itu ditujukan kapada siapa sebenarnya? Tidak bersyukur kepada ALLAH atau kepada Kerajaan?. Jika “tidak bersyukur” itu ditujukan kepada ALLAH, maka ia adalah salah. Rezeki adalah hak ALLAH untuk diberikan kepada sesiapa sahaja. Tidak kira orang itu Islam, Kristian, Buddha, Hindu dll. Jika “tidak bersyukur” itu ditujukan kepada ALLAH, kenapa boleh jadi begitu? Bukankah ALLAH telah menganjurkan keadilan dan ketelusan dalam segala aspek kehidupan ini – jadi apakah yang menyebabkan Penjawat Awam ini “tidak bersyukur”?. Jika ‘tidak bersyukur” ini ditujukan kepada Kerajaan kerana segala gaji iaitu rezeki dari perkhidmatan mereka itu datangnya dari kerajaan maka secara automatik orang yang berkata begitu telah menduakan ALLAH – telah berlaku syirik keatas dirinya. Kerja dengan Kerajaan adalah seperti bekerja dengan Rakyat. Kerajaan Malaysia bukan kerajaan monarki, Kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang dibentuk oleh rakyat dalam pilihanraya. Penjawat Awam adalah rakyat, bukan pencacai Kerajaan kerana mereka juga mengundi di pilihanraya. Jadi apa salahnnya mereka menyokong BERSIH dengan matlamat untuk pilihanraya yang adil dan telus?.
Tohmahan 5: Media di Malaysia tidak berat sebelah, penyokong BERSIH sahaja yang tuli, hanya dengar berita luar sahaja.
Jawapan: Berapa kali dan berapa minit dalam slot berita jam 8.00 malam TV1, TV2, TV3, Bernama TV dll yang mengambil kenyataan pihak PR dalam satu malam?. Bukan mengambil kenyataan tersebut dan memutarbelit kata-kata mereka yang diulas sendiri oleh pemberita. Bandingkan dengan kenyataan BN yang mendapat liputan penuh, tetapi sebaliknya berlaku kepada PR. Apakah itu tidak berat sebelah?. Berita sehari dua selepas Perhimpunan BERSIH ini, sila bandingkan dengan liputan media perdana dan media alternatif. Buanglah ego dan cuba untuk mencari maklumat lebih dari pelbagai sumber, bukan hanya percaya bulat-bulat apa yang media perdana katakan bagai “beriman” dengannya. Dengan teknologi terkini, semua dihujung jari melainkan perasaan angkuh menguasai diri untuk tidak mahu mencari kebenaran. Jika kebenaran yang dijumpai itu sama dengan pendirian anda, teruskan dengan sokongan anda kepada media perdana itu. Akan tetapi jika kebenaran itu tidak sama dengan maklumat yang anda terima dari media perdana itu, jangan segan silu untuk bersuara kerana itu hak anda. Anda yang tentukan.
Aku rasa setakat ini tohmahan yang sering ditujukan kepada Penyokong BERSIH telah aku jawab. Baca dengan hati terbuka, bukan dengan kebencian. Mungkin ini boleh membuka minda anda.