Category Archives: Tazkirah

Kebebasan Bersuara?: Karikatur Muhammad & Murtad

Molly Norris yang didakwa menganjurkan “Everybody Draw Mohammed Day” telah meminta maaf pada seluruh umat Islam. Ya, sebagai seorang muslim kita patut maafkannya, malah Molly Norris sendiri mengaku bahawa bukan beliau yang mencipta laman “Everybody Draw Mohammed Day” di Facebook, tetapi orang lain yang beliau sendiri tak kenal (klik untuk ke blognya). Pada aku, baik kita bersangka baik dengannya.

Apa yang aku ingin paculkan di sini ialah mengenai mereka yang mahu melukis wajah baginda Rasulullah kerana “hak kebebasan bersuara” yang mereka anuti. Begitu cetek pemikiran seseorang itu apabila mengganggu kehormatan agama lain bagi memuaskan hati dan nafsu mereka. Apa yang mereka dapat?

Begitu juga dalam hal murtad di Malaysia. Entri aku yang aku copy paste dari satu e-mail ke dalam blog ini bertajuk Murtad Di Malaysia menjadi bahan serangan pihak yang tak faham Islam yang kononnya memahami Islam dan menyalahkan orang Islam kerana terjadinya murtad. Permasalahanya sekarang adakah mereka faham apa itu murtad? dan kenapa Islam menentangnya?

Kebiasaannya jawapan aku mudah, “Agamamu soal agama mu, agamaku soal agamaku“, kerana aku berpegang dengan agamaku sendiri tanpa dengan niat untuk memahami atau cuba memahami agama lain dan dengan sebab itu aku tak mahu campur tangan atau menulis apa-apa mengenai agama lain. Kebebasan beragama dalam negara ini telah memberi kemudahan yang jelas untuk sesiapa sahaja mengaplikasikan agama mereka seharian.

Dalam entri kes murtad ini, terdapat beberapa komen yang menyinggung perasaan dan telah aku padam demi kepentingan blog ini agar tidak dicela. Ada juga komen yang mencabar, tetapi pada aku sebagai tin kosong yang diketuk bunyi sahaja yang bising, tetapi isinya tiada.

Persoalannya sekarang ialah kenapa mereka yang bukan Islam ini banyak mencabar kedaulatan Islam itu? Mencabar untuk melukis wajah Rasulullah S.A.W, mencabar hukum hudud, mencabar pesalah murtad, mencabar al-Quran, mencabar masjid, mencabar tudung dan purdah dan lain-lain lagi. Apa yang mengganggu mereka ini? Atau adakah kerana hak-hak asasi yang hanya terbentuk oleh logik akal yang sempit menyebabkan mereka jumud dengan pemikiran mereka sendiri?

Bagi aku, Islam membawa keindahan hidup kepada penganutnya yang mentaati apa yang terkandung dalam al-Quran dan As-sunnah. Apa yang di bawa oleh Rasulullah S.A.W itu lengkap, baik dari segi akhlak, iman, undang-undang, kewangan, hidup dan mati dan lain-lain lagi.

Memang tak dinafikan terdapat ramai orang Islam di Malaysia ini yang perangainya bagai orang yang tak beragama, dan fahami juga bahawa itulah nilai “hak-hak asasi” yang menjadi tunjang mereka dan menyebabkan mereka rosak akhlaknya. Mereka lahir dalam Islam, tetapi bukan Islam yang mengajar mereka begini,  kerana untuk memahami Islam perlukan kefahaman lebih dari logik akal yang hanya dapat dicapai dengan iman dan kepercayaan bahawa Allah itu wujud. Walaupun seseorang itu lahir dari rahim ibu yang Islam, tak semestinya dia boleh memahami Islam dengan baik dan ditambah lagi dengan kemajuan dunia ini menyebabkan mereka yang tak beriman tak akan faham apa itu iman.

Kepada mereka yang rajin komen kepada entri Murtad Di Malaysia dalam blog ini harap jangan menuduh orang Islam itu dan ini. Orang Islam hanya mempertahankan hak agama mereka kerana darjat “hak-hak asasi” adalah lebih rendah dari apa yang kita fikirkan. Hak agama Islam lebih bernilai dipertahankan kerana lebih banyak manfaatnya berbanding hak-hak lain. Hidup kami kerana Islam adalah kejayaan, dan  mati kami kerana Islam juga kejayaan. Fahamilah itu.

Takpe, Aku Dapat Duit Zakat

Sambil menyedut asap rokok, duduk atas motor EX5 yang baru dibelinya, dia berhujah jikalau dia mati dalam masa terdekat ini, duit bantuan dari pusat zakat negeri akan diberikan pula kepada anak-anaknya.

Hampir 6 bulan aku aktif sebagai perancang kewangan, sudah 7 orang aku jumpa penerima bantuan zakat kerana hidup miskin. Aku tak salahkan sesiapa, mereka berhak kerana ada dikalangan mereka yang sakit, lumpuh separuh badan dan ada ramai anak. Kehidupan dibiayai oleh bantuan zakat. Alhamdulillah.

Tapi yang seorang ni agak pelik sikit. Dari segi susuk tubuh badan aku tengok lelaki ini cukup sifat manusia normal, kuat dan pandai berbicara. Bila ditanya kerja apa, jawapannya mudah , tak bekerja sebab susah nak cari kerja yang sesuai, tetapi isterinya bekerja kilang.

……. mungkin agak tergantung cerita di atas. Apa yang aku cuba sampaikan ialah, seorang lelaki yang sihat yang tak bekerja dan hanya mengharapkan wang bantuan zakat dan saraan wang kerja isteri untuk hidup bangun tidur, makan minum tanpa menghiraukan anak-anak yang nak bersekolah, “Janji dapat beli rokok dan motor baru” – itu adalah kata yang datang dari mulutnya sendiri.

Terkejut!… Tak perlu terkejut kerana itulah realitinya bagi seorang lelaki yang hanya tahu mengharapkan bantuan tanpa usaha, malah dengan nada yang bongkak dia mempersoalkan gaji kerja kilang tak sesuai dengan ekonomi sekarang, malah mempersoalkan juga bantuan zakat negeri yang hanya cukup makan untuk dia sekeluarga.

Memang manusia jenis tak tahu bersyukur. Jenis kufur nikmat.

Sakit telinga bila dia betul-betul berbangga dengan “Aku dapat duit zakat, sewa rumah zakat tanggung. Bulan-bulan dapat 6 ratus, nak risau apa?. Tak bekerja pun tak apa” berkali-kali.

Aku tak tahan, maka keluarlah satu ayat dari mulut “Abang nak tahu tak, kalaulah saya boleh bayar zakat kat Palestin atau mana-mana negeri Islam yang miskin, saya sanggup bayar pada dorang daripada bayar kat sini tapi bagi kat abang. Bagi dorang kat sana lagi baik, dapat juga berjihad, inikan tidak, bagi kat abang buat naya orang miskin yang lain aje. Dah la tu, langsung tak bersyukur pulak tu“.

Merah muka lelaki tu marah pada aku. Tapi apa yang dia boleh cakap? Aku sambung lagi, “Sekali kalau Allah Ta’ala tarik nikmat bantuan duit zakat dan isteri tiba-tiba kena pecat lepas tu abang jatuh motor patah kaki siapa nak menolong?. Rokok abang ke?, motor abang ke?, rumah abang ke?. Silap-silap semua kena tarik, duduk bawah jembatan nanti“.

Dia senyap terpana. Mungkin ini kali pertama dia diterjah dengan kata-kata macam tu.

Apa yang aku terkilan adalah bukan disebabkan bongkak dan angkuh dia semata-mata, tetapi M.A.L.A.S dia. Seorang lelaki yang sihat tapi malas untuk mencari kerja bagi mencari nafkah untuk keluarga tanpa meminta-minta bantuan dari mana-mana pihak. Seboleh-bolehnya mempunyai niat untuk menjadi pembayar zakat pada masa akan datang adalah lebih baik dari bangga menjadi penerima bantuan zakat.

Aku juga menasihatkan diri aku agar tidak tergolong dengan spesis seperti lelaki ini. Na’uzubillah. Aku lebih rela bekerja siang dan malam untuk menyara keluarga hasil dari titik peluh aku sendiri dari menerima mana-mana bantuan kerana aku seorang manusia yang dijadikan Allah Ta’ala sebagai khalifah di bumi ini, bukan sebagai “sampah yang menyemak” bumi ini.

Jangan Politikkan Kalimah ALLAH

Bermula bulan Mei 2008, isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah The Herald dari pihak The Catholic Weekly menyebabkan ramai yang tersinggung dengan isu ini. Maka Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan larangan penggunaan kalimah Allah di Mahkamah Tinggi ke atas pihak Herald The Catholic Weekly.

Apa yang berlaku? Pada 30 Disember 2009, Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengenepikan larangan tersebut dan membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain.

Apa pandangan aku? Ya, secara jujurnya aku melihat ini sebagai satu ancaman kepada Islam. Penggunaan nama Allah dalam agama lain akan mengelirukan umat Islam di negara ini. Terlintas dalam fikiran aku, apa pandangan sarjana Islam? Adakah pandangan aku ini sama atau berbeza dengan pandangan dan ilmu mereka?

Secara mudahnya aku membuat sedikit kajian berdasarkan isu ini;

(1)
Secara dasarnya keputusan Mahkamah Tinggi bukanlah satu keputusan yang muktamad kerana KDN boleh buat rayuan di Mahkamah Rayuan dan boleh mambawa isu ini ke Mahkamah Persekutuan. Manakala hakim yang terlibat mungkin tiada masalah kerana isu ‘bias’ dan emosi tidak timbul jika mengambil hakim bukan Islam. Akan tetapi sensitiviti umat Islam perlu di ambil kira dalam satu-satu keputusan agar tidak membawa masalah kelak.

(2)
Panggunaan nama Allah bukanlah hak eksekutif umat Islam sahaja. Ia boleh digunakan oleh penganut agama lain dengan bertanggungjawab dan tidak bertujuan untuk mempersendakan dan mempermainkan kalimah tersebut demi kepentingan misi-misi merosakkan aqidah umat Islam.

(3)
Jikalau mahu dikuatkuasakan penggunaan kalimah Allah khas untuk umat Islam, kerajaan perlu bertindak untuk memaktubkannya di dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ini berada di bawah kuasa mereka. Rasanya tak perlu untuk mempolitikkan kalimah ini kerana kelihatan seperti mempermainkan kalimah tersebut.

(4)
Sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi, penggunaan kalimah Allah oleh agama lain adalah tidak salah kerana ini secara tidak langsung membawa Islam (secara kebiasaannya berkaitan rapat dengan kalimah Allah) kepada satu tahap yang tinggi. Tetapi hendaklah dipantau oleh pihak bertanggungjawab agar ia tidak dipermainkan.

(5)
Jikalau keputusan ini tidak dapat di ubah, kita sebagai umat Islam di Malaysia akan teruskan usaha untuk mendapatkan “hak” tersebut. Selain itu bagi umat Islam, penggunaan kalimah Allah perlulah bersama Subhanahu Wa Ta’ala atau S.W.T bagi menguatkan lagi bahawa kalimah Allah itu adalah kalimah untuk agama Islam.

(6)
Kebanyakan sarjana Islam membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain kerana banyak perkara. Sebagai contoh, kitab Injil adalah kitab suci dari Allah S.W.T untuk pengikut Nabi Isa A.S yang dikenali sebagai agama Kristian. Kepercayaan mereka kepada Allah S.W.T adalah wujud dan menjadi Tuhan sekelian alam adalah mengikut kitab Injil. Akan tetapi, penyelewengan “Trinity” oleh pihak gereja Kristian menyebabkan ini adalah sesat menurut ajaran Islam.

Walaupun begitu, Malaysia bukanlah seperti negara-negara Timur Tengah yang mana agama lain boleh menggunakan kalimah Allah untuk nama tuhan mereka tanpa sebarang sensitiviti kerana ia telah lama diaplikasi oleh masyarakat setempat. Ini berbeza dengan negara Malaysia kerana kalimah Allah telah digunakan oleh masyarakat Islam sejak dahulu lamanya tanpa sebarang persamaan kalimah di antara agama-agama lain di negara ini.

Yang jelas bahawa kalimah Allah ini tidak boleh di”1 Malaysia“kan oleh Hakim Lau Bee Lan. Sensitiviti umat Islam di Malaysia perlu dijaga kerana ini akan mendatangkan kemarahan mereka (termasuk aku). Jangan meletakkan kalimah Allah sama taraf dengan tuhan agama lain kerana dalam ayat di dalama Al-Quran telah menyebutkan perkara ini:

Katakanlah: Hai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmulah agamamu, dan untukkulah agamaku

Surah Al-Kafirun (106): 1 – 6

Artikel pilihan berkaitan:

Mohamed Hanipa Maidin: Di Mana Silap dan Betulnya Hakim Lau Bee Lan?

Tun Mahathir: Kontroversi Kegunaan Kalimah “Allah”

Ciri-ciri Orang Munafik

Bukan aku tiada modal untuk menulis entri ini, cuma ingin berkongsi maklumat walaupun kebanyakan daripada kita sudah tahu, tetapi ada masih yang terlupa – termasuklah aku.

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:

“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah )”

Riwayat Ahmad

Huraian:

i) Amanah bermaksud tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya.

ii) Amanah meliputi berbagai-bagai aspek seperti amanah tehadap Allah dan Rasul-Nya, amanah terhadap diri sendiri dan amanah terhadap masyarakat dan perkhidmatan.

iii) Monopoli kuasa dan tanggungjawab yang luas di tangan seseorang akan menyebabkan kuasa itu tidak berkesan dan tanggungjawab tidak dapat dijalankan. Oleh itu sesuatu tugas itu hendaklah diamanahkan kepada mereka yang layak dan mampu melaksanakannya di mana ia memiliki ciri-ciri amanah, kepakaran dan ketakwaan.

iv) Tidak amanah adalah satu tanda munafik. Akibatnya seseorang itu tidak lagi dipercayai oleh masyarakat disebabkan sifat khianat yang telah dilakukannya terhadap sesuatu tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Ciri-ciri Orang Munafik
Hadith :

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “.

Riwayat Ahmad

Guru & Ibubapa: Siapakah Pendidik Sebenarnya?

Pagi tadi dalam kereta, sementara menunggu mesyuarat bermula, aku mendengar Hot Chat dari Hot FM, DJ Faizal Ismail dan Azhar Sulaiman yang menggantikan Fara Fauzana. Hot Chat ini sebenarnya aku tak tahu apa tajuknya, tetapi yang jelas ia mengenai perilaku murid dan guru di sekolah.

Aku tak mahu komen mengenai keseluruhan sesi itu, tetapi ada satu panggilan yang menarik perhatian aku yang berbunyi lebih kurang begini:

Makcik memang ada pengalaman pedih, yang mana peristiwa ini pernah masuk satu majalah mengenai anak makcik yang menjadi mangsa buli tetapi sebaliknya apa yang berlaku anak makcik dipandang serong oleh guru-guru. Sebagai guru, mereka tidak boleh berfikiran negatif kerana mereka adalah pendidik. Mereka menerima latihan untuk menjadi pendidik bukan seperti ibubapa yang tidak menerima latihan itu. Itu yang makcik kesalkan sekarang

Begitulah kata makcik tersebut dalam radio pagi tadi. Pada mulanya aku tiada nak komen apa-apa mengenai soal ini. Tetapi Hot FM berulang kali memainkan panggilan ini menyebabkan aku terpanggil untuk menulis artikel ini. Mungkin ibubapa dan guru yang membaca artikel ini akan terasa marah, tetapi aku tak kisah.

Secara jujurnya aku dibesarkan dalam satu keluarga yang dipenuhi dengan para guru-guru. Hidup aku biasa mendengar cerita itu, cerita ini mengenai murid jahat, nakal, baik, cerdik, alim, bijak dan lain-lain lagi. Pada aku ia sudah menjadi sebahagian dari darah daging aku. Cumanya aku tak ikut jejak langkah itu. Tapi tak bermaksud aku tak tahu mengenai dunia guru ini.

Aku sebenarnya kadang-kadang naik muak apabila mendengar ada ibubapa yang serang guru-guru kerana merotan anak-anak mereka. Itu tak masuk samanlah, gores kereta cikgulah, tunggu cikgu tepi jalanlah, dan macam-macam lagi. Bila ada ibubapa yang menyalahkan guru dalam masalah disiplin anak-anak mereka, maka sangat jelas bahawa ibubapa itulah yang menjadikan anak mereka sedemikian. Kerana aku percaya pendidikan awal bermula dari rumah.

Pepatah Melayu banyak menekan aspek hubungan anak dan ibubapa seperti “Tidak jatuh kuah kalau bukan ke nasi“, “Bapa borek, anak rintik“, malah dalam Islam sendiri mengajar kita untuk mencorak anak kita sendiri.  Begitu rapatnya hubungan antara ibubapa dan anak. Tetapi kebanyakan dari kita tak sedar tentang hakikat ini, kebanyakan ibubapa banyak menuding jari ke arah guru apabila terjadi sesuatu kepada anak mereka. Satu sekolah mempunyai lebih kurang 500-1,000 orang murid, dan dikawal oleh 15-30 orang guru, dan ibubapa pula yang hanya mengawal 1-3 orang anak masih lagi menyalahkan guru jika anak mereka menjadi nakal atau jahat. Di mana letaknya integriti seorang ibu dan bapa? Dan persoalan sekarang ini adakah isu pendidikan anak itu perlu dipenuhi oleh guru sahaja?.

Secara pengetahuan am yang aku faham, guru adalah pendidik bahagian akademik anak muridnya, manakala ibubapa pula adalah pendidik bahagian keperibadian (sahsiah) anak-anak mereka. Pada aku ini adalah imbangan yang sesuai untuk aku gambarkan kepada kita mengenai tanggungjawab kependidikan anak-anak. Apa yang guru-guru boleh buat untuk membantu ibubapa ialah nasihat dan hukuman (mengikut undang-undang sekolah) jikalau ia melibatkan disiplin yang teruk. Tetapi apa yang berlaku sekarang ini, apabila anak-anak itu dihukum oleh guru-guru, maka guru-guru itu pula yang menjadi mangsa.

Ayah aku yang seorang guru, pernah jadi Pengetua sebelum jadi Guru Cemerlang berkata, “Tanggungjawab guru terhadap anak muridnya hanyalah terhad di dalam pagar kawasan sekolah. Apabila murid itu keluar dari sekolah, maka itu bukan lagi tanggungjawab guru“. Jelas dan telus. Itu sahaja yang aku dapat gambarkan. Masalah luar sekolah adalah masalah ibubapa dan kadang kala anak-anak ini sanggup menyalahkan sekolah dan guru-guru (dalam erti kata lain menipu) apabila ibubapa mendapati anak-anak mereka lebam sana, lebam sini sedangkan masalah itu berlaku luar sekolah. Tetapi bagi memastikan mereka (anak-anak) dipandang baik oleh ibubapa mereka, maka sekali lagi sekolah dan guru menjadi mangsa. Filem Anakku Sazali, arahan dan lakonan Allahyarham P. Ramlee sudah menceritakan perkara ini. Jangan terlalu percaya pada anak, nanti kita yang rugi.

Bagi para guru pula, maksud menjadi seorang pendidik itu luas maknanya. Waktu ini aku banyak melihat ramai dikalangan guru-guru menjadikan kerjaya ini sebagai pilihan terakhir dan satu kerjaya yang relaks tetapi boleh dapat duit. Walaupun tak semua begitu, tetapi modal inilah yang akan merosakkan nama guru-guru. Pada aku guru ini penuh dengan integriti, amanah, tabligh (penyampai) untuk memberi ilmu yang baik kepada anak muridnya. Dan ilmu inilah yang akan mejadikan mereka (murid) ini berjaya dalam hidup.

Walaupun dalam artikel ini aku banyak tekankan tanggungjawab ibubapa, tak bermaksud guru tidak penting. Guru banyak main peranan yang mengikut situasi, tetapi ianya tak sama dengan ibubapa. Itulah sebabnya aku banyak tekankan peranan ibubapa kerana aku juga sedang menerusi alam ke-ibubapa-an ini. Apa yang aku lakukan ialah mengikut apa yang ibubapa aku lakukan atas aku dulu, dan aku rasa ia satu cara yang baik. Maka tidak salah kalau aku mengambil cara yang sama.

Pandapat aku, kependidikan anak-anak ini perlu melihat kepada peredaran masa, tetapi tak semua. Mana yang perlu dimarah, kita marah. Mana yang perlu kita rotan , kita rotan. Mana yang perlu kita pupuk, kita pupuk. Mana yang perlu kita belajar, kita pelajari. Yang penting kita tahu anak itu amanah Allah S.W.T kepada kita dan kita sendiri yang mencorakkannya, bukan guru, bukan Guru Besar, bukan Pengetua, dan jauh sekali bukan juga tukang kebun sekolah.

Indonesia Yang Mengancam

Aku memang tak ada masalah dengan warga Indonesia. Malah kedai aku pun ada pekerja Indonesia yang aku ambil. Tapi aku tak puji semuanya, kerana mereka pun manusia biasa yang ada malas dan ada yang rajin. Ada yang baik dan ada yang jahat. Ada yang boleh diharap dan ada yang langsung tak boleh diharap.

Ancaman dari mereka di sana (Indonesia) yang mahu ganyang Malaysia menyebabkan aku terasa mahu saja buang semua pekerja Indonesia di tempat aku. Tapi disebabkan atas rasa belas kasihan dan hubungan sesama Islam menghalang aku bertindak melulu. Masih lagi ada hati budi dan perasaan baik sangka.

Apa yang mereka bising-bising mahu ganyang Malaysia? Apa yang marah-marah dangan Malaysia? Jaga negara sendiri dahulu dan lihat sekeliling jurang rakyat yang kaya dan yang miskin terlalu jauh. Jangan jadi batu api. Bantu yang susah, biar sama-sama jadi senang. Inikan tidak, kerjanya nak bergaduh je.

Aku ada terbaca satu artikel dari satu blog. Artikel ini adalah khutbah Jumaat mengenai malapetaka yang menimpa Padang dan Jambi Sumatera, Indonesia. Mungkin warga Indonesia yang berada di Malaysia dan juga yang berada di negaranya sendiri sekarang ini perlu baca dan ambil ia sebagai iktibar. Satu peringatan dari Allah Ta’ala untuk hambaNya yang derhaka, jangan nak gaduh dengan negara lain. Jaga perihal negara sendiri dahulu.

Khutbah ini adalah khutbah kedua, khutbah penuh boleh baca di sini.

Gempa bumi yang berlaku di Padang dan Jambi Sumatera pada 30 september dan 1 oktober baru-baru ini cukup memilukan. Kemusnahan dan kebinasaan akibat gempa bumi yang dahsyat ini sukar untuk dianggar  Musnah harta benda dan binasa segala nyawa. Namun peristiwa sedemikian tidaklah berlaku secara spontan atau hanya fenomena alam sebagaimana yang sering diungkapkan oleh mereka yang tidak beriman kepada Qadha’ dan Qadar Allah swt .

Al Quran [wahyu Allah swt] telah menegaskan beberapa peringatan yang boleh di dapati dalam banyak surah dan ayat guna membimbing ummat manusia agar beriman, bertaqwa dan mengabdikan diri kepada Allah swt. Antara yang menarik sekaligus membuktikan mukjizat al Quran ialah keselarasan ayat quran dengan peristiwa gempa bumi di Padang Sumatera. Gempa bumi yang berlaku di Padang pada 30 september tempohari ialah tepat jam 5.16 pm [atau jam 17:16] dan gegaran kedua berlaku pada jam 5.58 pm [atau jam 17:58]  Sementara esoknya [1 Oktober] jam 8.52 am berlaku gegaran susulan di Jambi .

Apabila kita laraskan masa berlaku gempa bumi dengan surah dan ayat al quran, kita akan temui persamaannya seperti berikut. [Jam 17:16 = Surah ke 17 ayat ke 16] [Jam 17:58 = Surah ke 17 ayat ke 58] [ Jam 8:52 = Surah ke 8 ayat ke 52]

Secara indeksnya surah ke 17 ialah surah al Israa’ sementara surah ke 8 ialah surah al Anfaal .

و إذا أردنا أن نهلك قرية أمرنا مترفيها ففسقوا فيها فحق عليها القول فدمرناها تدميرا

17.16 (QS. Al Israa’ ayat 16): “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya

و إن من قرية إلا نحن مهلكوها قبل يوم القيامة إو معذبوها عذابا شديدا كان ذلك في الكتاب مسطورا

17.58 (QS. Al Israa’ ayat 58): “Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz)

كدأب آل فرعون و الذين من قبلهم كفروا بأيات الله فأخذهم الله بذنوبهم إن الله قوي شديد العقاب

8.52 (QS. Al Anfaal: 52): “(Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyiksa mereka disebabkan disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras siksaan-Nya

Ayat – ayat di atas jelas menunjukkan azab dan musibah yang Allah swt timpakan ke atas sesebuah negara atau negeri lantaran penghuninya derhaka kepada Allah swt. Ia boleh berlaku dan telah berlaku di hadapan mata kepala kita biarpun jauh di negara orang untuk menjadi iktibar buat seluruh ummat manusia. Ayat – ayat Allah ini merupakan sistem amaran awal yang perlu diambil perhatian oleh seluruh ummat manusia supaya menjauhi segala perbuatan mungkar dan maksiat yang dimurkai oleh Allah swt. Hari ini mungkin Indonesia, tetapi tidak mustahil ia boleh berlaku di negara kita Malaysia pula pada bila – bila [wali’yazubillah] jika maksiat dan mungkar makin membarah .

Maka mimbar jumaat hari ini menyeru seluruh rakyat negara ini khususnya negeri pahang agar kembali kepada Islam sekaligus meninggalkan maksiat dan mungkar [zina, pergaulan bebas, pendedahan aurat, judi, arak, rogol, rompak, samun, rasuah, salah guna kuasa, zalim dan 1001 perkara mungkar] agar seluruh rakyat dan negara di berkati dan dirahmati oleh Allah swt.