Ludah Siswa Atau Ludah Najib?

Terkejut.

Mahasiswa telah tunjuk taring. Walaupun bukan majoriti mahasiswa di Malaysia ini, tetapi tindakan mereka perlu diambil perhatian. Najib Razak perlu takut. Bukan takutkan mahasiswa itu dengan “panglima perang” UMNO yang bersenjata air ludah, tetapi takutilah mahasiswa kerana mereka tidah lagi mudah dimomokkan lagi. Walaupun ada segelintir mereka mudah diper”bodoh”kan walau berpendidikan tinggi, dan itu tak semua, mana yang berani bertindak akan terus dengan agenda mereka.

Ada beberapa perkara yang aku ingin tekankan di sini, iaitu Hak Mahasiswa dan Kepimpinan Najib Razak.

Golongan ini adalah golongan yang mempunyai pemikiran kritis. Walaupun tak semua yang berfikiran kritis, tetapi semua mereka memupuk ilmu untuk digunakan masa depan. Berguna atau tidak ilmu yang mereka tuntut di IPT untuk masa depan – itu cerita lain. Penglibatan mereka untuk sesebuah negara amat-amat bernilai. Jatuhnya kerajaan Hosni Mubarak di Mesir adalah bermula di kampus oleh remaja yang bergelar Mahasiswa. Mereka koyak foto besar Hosni Mubarak sehingga berlaku revolusi dan menjatuhkan kerajaan.

Perkara ini boleh berlaku di Malaysia. Perbuatan menurunkan bendera wajah Najib Razak di PWTC bagaikan jatuhnya panji-panji perang di kubu sendiri. Satu perkara yang amat memalukan bagi seorang Perdana Menteri.

Malaysia ini negara timur yang penuh dengan sopan santun, budi bahasa dan tatatertib yang baik, tetapi jika dicuit, amuk jadinya. Mahasiswa sudah tak tahan diperbodohkan. Kerajaan mungkin boleh memperbodohkan rakyat dengan transformasi itu dan ini, tetapi mahasiswa bukan rakyat yang begitu. AUKU bukan lagi penghalang. Zaman Mahathir sudah nyanyuk. Tiba zaman Najib Razak – zaman bodoh.

Jangan marah aku jika perkataan “bodoh” menjadi darah daging kepimpinan kerajaan sekarang. Lihat sahaja kenyataan-kenyataan para menteri, timbalan menteri, pemimpin-pemimpin parti memerintah semua kenyataan yang kosong. Tiada makna. Malah yang paling teruk mereka tidak sedar bahawa mereka itu bodoh dan secara bersahaja memperbodohkan mahasiswa yang juga rakyat Malaysia secara sedar.

Apa yang diperjuangkan oleh mahasiswa ini adalah AUKU. Pada satu ketika dulu, kerajaan berhasrat memansuh AUKU, berita baik kepada mahasiswa untuk terlibat bebas dalam negara (bukan semata-mata penglibatan politik). Tiba-tiba AUKU tidak dimansuhkan, malah dipinda. Dipinda pula bukan untuk “melonggarkan”, tetapi “mengetatkan” rangnya. Ini semua tindakan kerajaan yang memperbodohkan mahasiswa. Mana boleh tahan…

Aku yakin bahawa mahasiswa masih menunjuk hormat kepada kerajaan. Tetapi perlu ingat bahawa mahasiswa juga perlu dihormati.

[Penulisan artikel dihantar kepada WordPress melalui BlackBerry Device]

Surat Terbuka Kepada Orang Melayu: “ISLAM DIDAHULUKAN, MELAYU BERSAMANYA”

Oleh: Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Muqaddimah

Islam didahulukan, Melayu bersamanya. Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan di atas aqidah kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. Inilah kecuaian Umno sejak ditubuhkan sehingga kini.

Kecintaan kepada keluarga, kaum dan bangsa adalah fitrah yang digalakkan oleh Islam, tetapi menjadikannya aqidah perjuangan adalah satu kesesatan. Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan dengan keluarga dan kaumnya, tetapi dengan aqidah dan berpandukan Islam.

Rasulullah S.A.W. adalah ikutan yang dilantik oleh Allah, bukan dilantik melalui pilhanraya atau perhimpunan agung mana-mana parti. Apabila Rasulullah S.A.W. dilantik menjadi Rasul akhir zaman kepada seluruh alam, dipilih daripada kalangan bangsa Arab qabilah Quraisy, paling jahil, miskin dan berada di tengah padang pasir paling gersang, tetapi menjadi paling sabar, berani dan paling lasak menghadapi cabaran kalau ditarbiyah.

Paksinya Islam, bukan bangsa

Bangsa Arab seluruhnya berpecah dan berperang sesama sendiri. Semenanjung Arab, tanah air mereka dijajah oleh kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Persoalannya apakah yang didahulukan oleh Rasulullah S.A.W? Sama ada memulakan perjuangan di atas semangat kebangsaan Arab, satukan mereka terlebih dahulu di atas semangat kebangsaan itu, tegakkan perjuangan kemerdekaan menentang penjajah Parsi dan Rom, selepas itu Islam boleh tegak dengan sendiri bersamanya. Atau mulakan dengan Islam, perkasakan bangsa Arab dengan Islam yang sempurna, aqidah, syariat dan akhlak?

Ucapan pertama disampaikan kepada penduduk Makkah dengan arahan wahyu daripada Allah bermaksud (Al-A’raf: 158):

Katakanlah: “Hai manusia Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah Dia, supaya kamu mendapat petunjuk.

Bukan dengan seruan “Hidup Arab Islam selamat!”, hanya bangsa Arab yang boleh menegakkan Islam, macam slogan Umno: “Hidup Melayu!”.

Tegasnya bahawa Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan mengajak bangsa mengikut Islam, bagi memerdekakan diri daripada jahiliyah dalam diri sendiri terlebih dahulu dengan bangsanya mengikut Islam. Walaupun mendapat tentangan hebat daripada pemimpin kaum bangsa dan keluarganya sendiri, sehingga dihalau daripada tanah air tempat dilahirkannya (Makkah). Kemudian menggunakan kuasa pemerintahan Islam yang ditegakkan oleh kaumnya yang menerima Islam dengan beriman mengikutnya dengan sempurna dan mengumpul serta menyatukan mereka dengan Islam. Kemudian kembali semula ke Makkah untuk memerdekakannya daripada kuasa pemerintahan jahiliyah Arab yang dipimpin oleh ayah mertuanya sendiri Abu Sufian bin Harb.

Islam diamal dan disampaikan

Allah mewafatkan Rasulullah S.A.W. setelah ajaran Islam disempurnakan secara wahyu serta cara beramalnya dinyatakan oleh Sunnah Rasulullah S.A.W. dan setelah menyampaikan mesej Islam secara bersurat yang dihantar kepada negara dan bangsa yang bukan Arab. Ada yang menerima Islam, ada yang tidak menerima tetapi berdamai dan ada yang mengambil sikap permusuhan.

Sebelum wafat Rasulullah S.A.W. Allah menegaskan kepadanya secara wahyu kepada bangsa Arab yang menganut Islam supaya berpandukan Islam, di antaranya Allah memberi amaran (Muhammad: 38):

Jika kamu berpaling (dari menegakkan Islam) nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.

Kepimpinan Islam diteruskan

Khalifah Abu Bakar mengambil alih memimpin negara menentang bangsa Arab yang murtad (berpaling tadah menentang Islam). Penyelewengan berlaku dengan bantuan penjajah Parsi dan Rom. Setelah Khalifah Abu Bakar berjaya mengalahkan bangsa Arab yang murtad maka dimulakan dakwah mengajak kaum lain kepada Islam tanpa paksaan.

Dua kuasa besar dunia menentang secara ketenteraan kerana menganggap bangsa Arab yang menganut Islam itu masih lemah seperti sebelum Islam. Tiba-tiba dua kuasa besar dunia ikut tumbang kerana jahiliyyahnya, walau pun mereka maju dari segi kebendaannya, tetapi dibejati kezaliman dan maksiat. Khalifah Umar R.A. yang berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia itu menyampaikan ucapannya ketika berada di Kota Suci Bait Al Maqdis:

Kita adalah bangsa yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain dari apa yang telah dikurnia Allah, nescaya kita akan ditimpa hukuman Allah menjadi bangsa yang hina.

Arab hebat apabila berpegang dengan Islam

Ketika bangsa Arab yang menganut Islam masih berpegang dengan ajaran Islam, mereka terus memimpin negara yang paling besar dalam sejarah, bersama masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama. Mereka mengislamkan bangsa lain tanpa paksaan dan mengislam ilmu serta kebijaksanaan daripada berbagai bangsa, sehingga melahirkan tamadun Islam yang paling hebat dalam sejarah manusia.

Apabila bangsa Arab menjadi leka terhadap Islam, maka Allah menukarkan bangsa bukan Arab yang menganut Islam dan berpandukan Islam serta menegakkannya. Bangsa lain mengambil alih pemerintahan telah melahirkan ilmuan Islam dan pemimpin negara. Manakala bangsa Arab menjadi rakyat di bawah pemerintahan Islam, oleh para ulama dan pemimpin bukan berbangsa Arab, seperti Kurdis, Turki, Bukhara dan lain-lain.

Melayu juga hebat dengan Islam

Bangsa Melayu di Asia Tenggara turut sama menjadi bangsa yang perkasa apabila mereka menganut Islam dan raja-rajanya memerintah dengan Islam. Bahasa Melayu berhuruf Al Quran bertamadun menjadi bahasa ilmu dirantau ini.

Kedatangan penjajah yang mampu menguasai dunia Islam, termasuk dunia Melayu di rantau ini apabila mereka lemah berpegang dengan ajaran Islam. Cahaya Islam yang sedikit tidak boleh dipadamkan masih bersuluh membangkitkan perjuangan menentang penjajah.

Walaupun penjajah asing sudah meninggalkan tanahair kita, tetapi kesan daripadanya masih wujud dengan tebal. Kita tidak dapat mengembalikan jati diri malainkan dengan kembali menjadikan Islam tertegak di hadapan kita yang menjadi panduan seluruh cara hidup beragama dan bermasyarakat. Ini seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dengan petunjuk Allah dan diperingatkan oleh Khalifah Umar bin Al Khattab R.A.

Mari kita menjadi bangsa yang insaf dengan muhasabah diri, bagaimana bangsa Arab yang berjumlah ratusan juta, di tengah kekayaan hasil minyak yang tidak terkira, dipermainkan oleh kuasa Barat yang pernah menjajah mereka. Mereka tidak mampu berdepan dengan segelintir bangsa Yahudi zionis yang diletakkan oleh penjajah bagi menjaga kepentingannya di Asia Barat. Ini kerana mereka berpaksikan kebangsaan Arab dan meminggirkan Islam di belakang mereka. Satu agenda penjajahan pemikiran yang sengaja dirancang begitu rupa.

Hari ini bangsa Arab mula sedar dan bangkit bersama Islam dengan memulakan kemenangan Islam secara aman melalui pilihanraya yang adil setelah ditekan oleh pemimpin bangsa sendiri secara kuku besi.

Umno adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat dengan cara Umno. Islam cara Umno tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan. Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk.

PAS terima hakikat masyarakat majmuk

Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah di tanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu yang lebih dahulu yang bercampur dengan kaum pribumi berada di tanahair ini. Penjajah membawa kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan penjajah Barat. Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir di kawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula menjadi buruh di lombong-lombong dan sebahagiannya di bandar dan kaum India menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan di antara satu sama lain, untuk terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah selepas merdeka.

Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang dan saksama diantara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar. Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh di belakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara nyata di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai Barat dan Malaysia Timur. Semua negeri-negeri ini pada awalnya dipimpin oleh Umno yang bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam.

Umno sebenarnya yang bermasalah

Malangnya Umno menyalahkan pihak lain, khususnya PAS yang tidak bersama Umno sejak menentang penjajah dan cara mencapai kemerdekaan dan mengurus negara. Umno meletakkan Islam di samping atau di belakang tanpa kuasa secara warisan penjajah yang merancang untuk melemahkan umat Islam mengikut kajian para orentalis. Akhirnya orang Melayu bukan sahaja terus dalam keadaan lemah, tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi di bumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan bumiputera, bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesedaran berpolitik. Pemimpin yang tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit zalim dan fasad. Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemungkaran dalam segala aspek saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan masyarakat.

Pemimpin utama Umno sendiri sudah mengaku adanya penyakit yang kronik dalam diri parti Umno. Politik rasuah (wang) membarah dalam diri sendiri dan menyebarkannya kepada orang Melayu untuk mendapat sokongan, mengampu dan menipu sesama sendiri. Maka orang Melayu dalam bahaya bersama Umno .

Ketinggalan orang Melayu dalam politik Singapura di tahun lima puluhan dan enam puluhan adalah di bawah pimpinan Umno. Tertinggalnya orang Melayu di Pulau Pinang adalah di bawah Umno juga. Umno menyelamatkan kedudukan dengan mengasak orang Melayu dengan kawasan pilihanraya campuran bagi memenangkan rakan kongsinya daripada kaum lain setelah parti itu kalah di kawasan mereka.

Mereka menekan bangsa sendiri yang menegurnya dan tidak bersamanya, dengan menindas negeri Melayu yang tidak berpihak kepada Umno. Tindakan menafikan hak royalti minyak terhadap Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu serta melambatkan bayaran perkapita. Begitu juga dengan Kedah. Ini adalah contoh nyata Umno menindas negeri Melayu.

Umno juga mengapi-apikan semangat perkauman Melayu sehingga tegang hubungan dengan kaum lain, seterusnya orang Melayu dilekakan dengan wang, media yang menipu dan melalaikan mereka. Ketika bangsa lain berpolitik secara matang dengan kefahaman merancang masa depan yang jauh. Namun orang Melayu berpolitik diajar oleh Umno untuk mencari peluang beberapa hari dimusim pilihanraya sehingga lupa menjadi mangsa setiap lima tahun sehingga lebih lima puluh tahun terus ketinggalan.

Sudah tiba masanya orang Melayu memberi peluang kepada Umno berehat atau bersara atau berhenti terus. Ucapan berapi dalam perhimpunan Agung Umno baru-baru ini lebih banyak membedil diri sendiri, bukan sahaja ada yang menikam dari belakang bahkan ada yang berani menikam secara berhadapan. Walaupun pada zahirnya menyerang lawan dan kawan. Yang tidak faham bertepuk tangan syok sendiri sehingga membengkak tangan. Adapun yang faham pula berubah wajah kerana kebimbangan bahteranya menunggu karam ditebuk kelasi sendiri.

Umat mesti diselamatkan

PAS berulangkali mengajak Umno bermuzakarah secara ilmu Islam dan adabnya bagi menyelamatkan umat dan negara dengan Islam, bukan berbincang untuk bersama memikul biawak hidup yang diternak oleh Umno. Mengajak kepada Islah sekadar kemampuan, kerana bukan cara menyelamatkan negara dengan mengapi-apikan semangat perkauman yang menegangkan hubungan diantara kaum dan agama. Caranya ialah dengan konsep adil untuk semua dan menjaga hak masing-masing secara adil, serta ruang demokrasi dengan batas-batas dan sempadannya yang sebenar secara ikhlas, bukan secara menipu. PAS percaya Islam adalah hujah yang terkuat daripada Allah S.W.T kerana Islam adalah Rahmat Allah kepada seluruh alam.

Tulisan ini bukan menjaga tepi kain orang lain, tetapi hanya peringatan kepada mereka yang kainnya sudah parah terkoyak, sehingga menampakkan kecacatan yang memalukan.

Sumber: http://www.niknasri.com/wp-content/uploads/2011/12/SURAT-TERBUKA-KEPADA-ORANG-MELAYU.pdf

Kahwin PAS dan UMNO?

Para pesorak UMNO dan pimpinannya nampaknya masih lagi berharap agar PAS dapat bersatu dengan UMNO. Selepas Mat Sabu naik menggantikan Nasarudin Mat Isa sebagai Naib Presiden PAS, impian UMNO untuk bergabung dengan PAS bagai mimpi siang hari. Mat Sabu bagaikan satu ‘bala’ jika ada dari pihak UMNO yang merisik PAS untuk disatukan.

Unity Government (Kerajaan Perpaduan) yang digemburkan oleh pesorak UMNO sebelum Muktamar PAS yang lepas hilang sekelip mata apabila perwakilan PAS seluruh Malaysia memilih muka lama yang dibenci UMNO naik takhta semula. Kalau dahulu dimomokkan bahawa TG Haji Hadi dan Nasarudin Mat Isa menjadi jambatan pihak UMNO untuk merisik PAS bergabung, tetapi selepas Mat Sabu naik, kini Hassan Ali pula menjadi manga.

Aku agak kurang faham kenapa Editor Kanan Utusan, Zaini Hassan, beriya-iya benar menaikkan Hassan Ali sebagai ‘penyelamat’ Melayu di Selangor dengan mendakwa bahawa Hassan Ali mampu untuk mengahwinkan PAS dengan UMNO, dengan alasan bahawa Selangor kini dibawah ‘kuasa’ DAP yang akan memusnahkan harapan Melayu di Selangor dan alasan kedua bahawa Hassan Ali mampu untuk menyatukan Melayu di Selangor. Wah!.. nama baru dari lidah UMNO untuk merosakkan dalaman PAS. Satu agenda strategik UMNO bagi merampas semula Selangor melalui pergolakan dalaman Pakatan Rakyat (PR) dan PAS.

Pada pendapat aku penganugerahan darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Hasan Ali adalah disebabkan oleh kerja Hassan Ali sebagai EXCO Kanan Selangor yang cemerlang. Hassan Ali bekerja untuk rakyat dan bukannya bekerja untuk parti semata-mata. Walaupun kadang-kadang ada ketikanya pendapat Hassan Ali itu berlawanan dengan pendapat pimpinan PR, tetapi ia tidak bermaksud Hassan Ali tidak bersama dengan PAS dan PR. Tidak perlulah Utusan mengambil peluang untuk menghuru-harakan ‘penganugerahan’ ini kononnya Sultan mahu Selangor ‘diselamatkan’ oleh ‘penguasaan’ DAP di Selangor.

Persoalan yang aku mahu rungkai tetapi susah untuk dirungkai ialah, adakah Selangor perlu diselamatkan?, siapa yang merosakkan Selangor?, apa bukti bahawa Selangor perlu diselamatkan?, adakah dengan penganugerahan Hassan Ali oleh Sultan membolehkan Hassan Ali menjadi ‘Superman’ di Selangor untuk menyelamatkan negeri itu?

Utusan sejak dari dahulu hingga kini biasa dengan berita ‘lucah’ dan cerita fitnah yang merosakkan kesatuan Melayu itu sendiri. Masakan seorang pemfitnah mahu dipercayai kata-katanya?

Aurat Wanita: Telekung Solat

Ada sesetengah wanita Islam di luar sana mengakui telah menutup aurat sepenuhnya, akan tetapi kain masih terbelah, dada masih menonjol, bahagian punggung masih nampak alur seluar dalam. Malah ada yang memakai tudung, tetapi masih nampak rambut dan telinga kerana kain tudung agak nipis.

Satu persoalan untuk aku kongsi bersama para pembaca blog ini terutamanya mereka dari golongan wanita Islam Malaysia. Persoalannya ialah, “Jika anda mengatakan telah menutup aurat dengan sempurna, perlukah anda memakai telekung semasa solat?“.

Perkara ini berbeza jika kita lihat wanita Islam dari Timur Tengah, mereka menggunakan pakaian harian semasa mendirikan solat. Ketiadaan telekung di tempat solat wanita tidak menjadi masalah kerana mereka telah menutup aurat dengan sempurna.

Bagaimana pula di negara ini… Kenapa di setiap tempat solat wanita perlu telekung solat? Adakah wanita Islam Malaysia tidak menutup aurat?

Dalam permasalahan ini, aku tak salahkan pihak wanita Islam di Malaysia, mungkin kerana ‘kebiasaan’ bagi mereka mengenakan telekung semasa mendirikan solat, tetapi jika mereka telah menutup aurat secara sempurna tanpa mendedahkan aurat (termasuk bentuk badan), mungkin mereka boleh terus mendirikan solat tanpa telekung.

Bayangkan jika mereka berpakaian kebaya pendek dengan bertudung (Kebiasaan kita pakaian itu dikatakan telah menutup aurat), dan mereka mendirikan solat dengan keadaan begitu tanpa bertelekung… Apa yang anda fikirkan?, Dan bagaimana pandangan Allah Ta’ala pula?.

Mungkin kini tiba masanya anda (wanita Islam Malaysia) menutup aurat secara sempurna, kerana Allah Ta’ala tidak melihat kita semasa kita mendirikan solat, tetapi Dia melihat kita setiap masa.

Tepuk dada, tanyalah iman…

[Penulisan artikel dihantar kepada WordPress melalui BlackBerry Device]

AGM UMNO 2011 = Maharaja Lawak

Bertemu dengan seorang Pakcik di tempat solat di mana aku menjalankan aktiviti semalam di satu karnival tahunan di Kuala Lumpur.

Pakcik: Panas sungguh hari ni. Awak tak rimas ke pakai baju hitam macam ni.

Aku: Panas la sikit, tapi sebab peluh, jadi sejuk sikit.. Hehe. Pakcik dari mana, bunyi slang macam dari Sabah?

Pakcik: Ya.. Memang dari Sabah. Ada kerja sikit di KL.

Aku: Ada business meeting ke?

Pakcik: Tak ada lah.. (sambil tersenyum)

Aku: Atau Pakcik ni perwakilan UMNO kot? hehe. (sambung aku sambil berseloroh).

Pakcik: Itu orang gila saja yang pergi. Perhimpunan Raja Lawak… Haha. Cakap macam orang bodoh. Tiada akal.

Aku:(Dalam hati) Muahahaha.. Ada juga orang yang besependapat dengan aku… Hahaha.

[Penulisan artikel dihantar kepada WordPress melalui BlackBerry Device]

[Edisi AGM UMNO 2011]: Harapan Dan Maki Hamun.

Masih ingat dalam memori aku pada awal penglibatan bidang keusahawanan. Secara ringkas, aku bukanlah dari keluarga yang kaya, jadi untuk memulakan perniagaan perlu ada modal. Pada waktu tu zaman pemerintahan Pak Lah sebagai PM, bidang perniagaan dan keusahawanan menjadi salah satu agenda kerajaan membantu rakyat. MDeC, MARA, TEKUN, PUNB dll sebagai platform pemula bagi bakal usahawan menjadi usahawan yang berjaya.

Berbekalkan info itu, aku dan isteri mengambil peluang untuk mendapat bantuan kerajaan bagi memulakan perniagaan. TEKUN menjadi pilihan kerana tak perlu banyak prosedur kertas kerja diperlukan, setakat bukti akaun semasa, perjanjian sewa premis, dan bukti pendaftaran syarikat di SSM sudah mencukupi.

Aku pernah dengar desas-desus yang mengatakan kalau nak buat pinjaman di TEKUN perlu jadi ahli UMNO. Tapi aku tak pikir sangat pasal tu, masih bersangka baik. Selepas memenuhkan borang permohonan, aku pergi ke TEKUN. Di sana, aku disoal pegawai untuk mendapatkan tandatangan YB atau Ketua Bahagian UMNO. Aku terus buat apa yang dikehendaki. Sampai di pejabat YB, pegawai di situ bertanya adakah aku ahli UMNO, jika tidak, aku perlu daftar keahlian sebelum borang mendapat tandatangan YB. Desas-desus rupanya benar. Aku sendiri merasainya.

Zaman Najib menjadi PM, satu kejutan buat orang seperti aku kerana Najib secara sengaja telah menggugurkan Kementerian Keusahawanan dari kabinet. Secara tidak langsung, talian hayat usahawan bumiputera khasnya hilang. Pada waktu ini, UMNO sepatutnya membincangkan survival orang Melayu yang menjadi teras perjuang mereka. Bukan memaki hamun pembangkang.

Harapan rakyat Malaysia bukan setakat mahukan beras sekampit waktu kempen pilihanraya. Tetapi mahukan kerajaan membela mereka. Mereka mahukan penekanan diberikan kepada bumiputera untuk menyaingi kaum lain dalam sektor ekonomi negara. Kerana UMNO pada waktu ini adalah parti komponen yang memerintah negara. UMNO mempunyai kuasa untuk menentukan masa depan orang Melayu di negara ini.

AGM kali ini tampak tiada harapan untuk rakyat Malaysia. Harapan bagaikan kabus pagi yang hilang tika tengahari menjelang. Pengisian AGM dipenuhi kata-kata maki hamun kepada pembangkang. Hampir semua pucuk pimpinan mengeluarkan ide-ide memusuhi pembangkang dalam ucapan mereka. Bahkan hampir tiada dari pemimpin mereka yang menjawab isu-isu yang terpalit di muka mereka.

Melihat senario ini kelihatan UMNO sedang nazak untuk memulihkan reputasi mereka. Ayat-ayat ucapan untuk menarik kembali keyakinan rakyat kepada UMNO dah tiada isi. Malah ada antara isi kandung ucapan pemimpin tertinggi seperti memperlihatkan pembaca ucapan sebagai bodoh dan jahil. Tidak tahu apa yang mereka ucapkan. Akhirnya menjadi bahan gelak ketawa audien yang mengikuti AGM mereka.

Harapan mengganti maki hamun. Mungkin UMNO merasai tekanan yang mereka hadapi dari Pakatan Rakyat. Tekanan oleh janji-janji harapan PR kepada rakyat lebih nampak realiti dari retorik janji-janji UMNO yang lebih 50 tahun memerintah tetapi keadaan rakyat makin tahun makin sempit dan susah.

Apa yang aku lihat AGM UMNO kali ini berbeza dari Muktamar PAS yang lepas yang banyak membincangkan mengenai masa depan parti, bukan semata-mata survival politik. Mungkin patut tajuk ucapan Naib Presiden UMNO ditukar, dari “Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad” kepada “Menunjangi Survival UMNO: Suatu Jihad“.

[Penulisan artikel dihantar kepada WordPress melalui Blackberry Device]