Category Archives: Dakwah & Tarbiah

Surat Terbuka Kepada Orang Melayu: “ISLAM DIDAHULUKAN, MELAYU BERSAMANYA”

Oleh: Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Muqaddimah

Islam didahulukan, Melayu bersamanya. Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan di atas aqidah kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. Inilah kecuaian Umno sejak ditubuhkan sehingga kini.

Kecintaan kepada keluarga, kaum dan bangsa adalah fitrah yang digalakkan oleh Islam, tetapi menjadikannya aqidah perjuangan adalah satu kesesatan. Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan dengan keluarga dan kaumnya, tetapi dengan aqidah dan berpandukan Islam.

Rasulullah S.A.W. adalah ikutan yang dilantik oleh Allah, bukan dilantik melalui pilhanraya atau perhimpunan agung mana-mana parti. Apabila Rasulullah S.A.W. dilantik menjadi Rasul akhir zaman kepada seluruh alam, dipilih daripada kalangan bangsa Arab qabilah Quraisy, paling jahil, miskin dan berada di tengah padang pasir paling gersang, tetapi menjadi paling sabar, berani dan paling lasak menghadapi cabaran kalau ditarbiyah.

Paksinya Islam, bukan bangsa

Bangsa Arab seluruhnya berpecah dan berperang sesama sendiri. Semenanjung Arab, tanah air mereka dijajah oleh kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Persoalannya apakah yang didahulukan oleh Rasulullah S.A.W? Sama ada memulakan perjuangan di atas semangat kebangsaan Arab, satukan mereka terlebih dahulu di atas semangat kebangsaan itu, tegakkan perjuangan kemerdekaan menentang penjajah Parsi dan Rom, selepas itu Islam boleh tegak dengan sendiri bersamanya. Atau mulakan dengan Islam, perkasakan bangsa Arab dengan Islam yang sempurna, aqidah, syariat dan akhlak?

Ucapan pertama disampaikan kepada penduduk Makkah dengan arahan wahyu daripada Allah bermaksud (Al-A’raf: 158):

Katakanlah: “Hai manusia Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah Dia, supaya kamu mendapat petunjuk.

Bukan dengan seruan “Hidup Arab Islam selamat!”, hanya bangsa Arab yang boleh menegakkan Islam, macam slogan Umno: “Hidup Melayu!”.

Tegasnya bahawa Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan mengajak bangsa mengikut Islam, bagi memerdekakan diri daripada jahiliyah dalam diri sendiri terlebih dahulu dengan bangsanya mengikut Islam. Walaupun mendapat tentangan hebat daripada pemimpin kaum bangsa dan keluarganya sendiri, sehingga dihalau daripada tanah air tempat dilahirkannya (Makkah). Kemudian menggunakan kuasa pemerintahan Islam yang ditegakkan oleh kaumnya yang menerima Islam dengan beriman mengikutnya dengan sempurna dan mengumpul serta menyatukan mereka dengan Islam. Kemudian kembali semula ke Makkah untuk memerdekakannya daripada kuasa pemerintahan jahiliyah Arab yang dipimpin oleh ayah mertuanya sendiri Abu Sufian bin Harb.

Islam diamal dan disampaikan

Allah mewafatkan Rasulullah S.A.W. setelah ajaran Islam disempurnakan secara wahyu serta cara beramalnya dinyatakan oleh Sunnah Rasulullah S.A.W. dan setelah menyampaikan mesej Islam secara bersurat yang dihantar kepada negara dan bangsa yang bukan Arab. Ada yang menerima Islam, ada yang tidak menerima tetapi berdamai dan ada yang mengambil sikap permusuhan.

Sebelum wafat Rasulullah S.A.W. Allah menegaskan kepadanya secara wahyu kepada bangsa Arab yang menganut Islam supaya berpandukan Islam, di antaranya Allah memberi amaran (Muhammad: 38):

Jika kamu berpaling (dari menegakkan Islam) nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.

Kepimpinan Islam diteruskan

Khalifah Abu Bakar mengambil alih memimpin negara menentang bangsa Arab yang murtad (berpaling tadah menentang Islam). Penyelewengan berlaku dengan bantuan penjajah Parsi dan Rom. Setelah Khalifah Abu Bakar berjaya mengalahkan bangsa Arab yang murtad maka dimulakan dakwah mengajak kaum lain kepada Islam tanpa paksaan.

Dua kuasa besar dunia menentang secara ketenteraan kerana menganggap bangsa Arab yang menganut Islam itu masih lemah seperti sebelum Islam. Tiba-tiba dua kuasa besar dunia ikut tumbang kerana jahiliyyahnya, walau pun mereka maju dari segi kebendaannya, tetapi dibejati kezaliman dan maksiat. Khalifah Umar R.A. yang berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia itu menyampaikan ucapannya ketika berada di Kota Suci Bait Al Maqdis:

Kita adalah bangsa yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain dari apa yang telah dikurnia Allah, nescaya kita akan ditimpa hukuman Allah menjadi bangsa yang hina.

Arab hebat apabila berpegang dengan Islam

Ketika bangsa Arab yang menganut Islam masih berpegang dengan ajaran Islam, mereka terus memimpin negara yang paling besar dalam sejarah, bersama masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama. Mereka mengislamkan bangsa lain tanpa paksaan dan mengislam ilmu serta kebijaksanaan daripada berbagai bangsa, sehingga melahirkan tamadun Islam yang paling hebat dalam sejarah manusia.

Apabila bangsa Arab menjadi leka terhadap Islam, maka Allah menukarkan bangsa bukan Arab yang menganut Islam dan berpandukan Islam serta menegakkannya. Bangsa lain mengambil alih pemerintahan telah melahirkan ilmuan Islam dan pemimpin negara. Manakala bangsa Arab menjadi rakyat di bawah pemerintahan Islam, oleh para ulama dan pemimpin bukan berbangsa Arab, seperti Kurdis, Turki, Bukhara dan lain-lain.

Melayu juga hebat dengan Islam

Bangsa Melayu di Asia Tenggara turut sama menjadi bangsa yang perkasa apabila mereka menganut Islam dan raja-rajanya memerintah dengan Islam. Bahasa Melayu berhuruf Al Quran bertamadun menjadi bahasa ilmu dirantau ini.

Kedatangan penjajah yang mampu menguasai dunia Islam, termasuk dunia Melayu di rantau ini apabila mereka lemah berpegang dengan ajaran Islam. Cahaya Islam yang sedikit tidak boleh dipadamkan masih bersuluh membangkitkan perjuangan menentang penjajah.

Walaupun penjajah asing sudah meninggalkan tanahair kita, tetapi kesan daripadanya masih wujud dengan tebal. Kita tidak dapat mengembalikan jati diri malainkan dengan kembali menjadikan Islam tertegak di hadapan kita yang menjadi panduan seluruh cara hidup beragama dan bermasyarakat. Ini seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dengan petunjuk Allah dan diperingatkan oleh Khalifah Umar bin Al Khattab R.A.

Mari kita menjadi bangsa yang insaf dengan muhasabah diri, bagaimana bangsa Arab yang berjumlah ratusan juta, di tengah kekayaan hasil minyak yang tidak terkira, dipermainkan oleh kuasa Barat yang pernah menjajah mereka. Mereka tidak mampu berdepan dengan segelintir bangsa Yahudi zionis yang diletakkan oleh penjajah bagi menjaga kepentingannya di Asia Barat. Ini kerana mereka berpaksikan kebangsaan Arab dan meminggirkan Islam di belakang mereka. Satu agenda penjajahan pemikiran yang sengaja dirancang begitu rupa.

Hari ini bangsa Arab mula sedar dan bangkit bersama Islam dengan memulakan kemenangan Islam secara aman melalui pilihanraya yang adil setelah ditekan oleh pemimpin bangsa sendiri secara kuku besi.

Umno adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat dengan cara Umno. Islam cara Umno tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan. Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk.

PAS terima hakikat masyarakat majmuk

Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah di tanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu yang lebih dahulu yang bercampur dengan kaum pribumi berada di tanahair ini. Penjajah membawa kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan penjajah Barat. Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir di kawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula menjadi buruh di lombong-lombong dan sebahagiannya di bandar dan kaum India menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan di antara satu sama lain, untuk terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah selepas merdeka.

Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang dan saksama diantara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar. Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh di belakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara nyata di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai Barat dan Malaysia Timur. Semua negeri-negeri ini pada awalnya dipimpin oleh Umno yang bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam.

Umno sebenarnya yang bermasalah

Malangnya Umno menyalahkan pihak lain, khususnya PAS yang tidak bersama Umno sejak menentang penjajah dan cara mencapai kemerdekaan dan mengurus negara. Umno meletakkan Islam di samping atau di belakang tanpa kuasa secara warisan penjajah yang merancang untuk melemahkan umat Islam mengikut kajian para orentalis. Akhirnya orang Melayu bukan sahaja terus dalam keadaan lemah, tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi di bumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan bumiputera, bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesedaran berpolitik. Pemimpin yang tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit zalim dan fasad. Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemungkaran dalam segala aspek saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan masyarakat.

Pemimpin utama Umno sendiri sudah mengaku adanya penyakit yang kronik dalam diri parti Umno. Politik rasuah (wang) membarah dalam diri sendiri dan menyebarkannya kepada orang Melayu untuk mendapat sokongan, mengampu dan menipu sesama sendiri. Maka orang Melayu dalam bahaya bersama Umno .

Ketinggalan orang Melayu dalam politik Singapura di tahun lima puluhan dan enam puluhan adalah di bawah pimpinan Umno. Tertinggalnya orang Melayu di Pulau Pinang adalah di bawah Umno juga. Umno menyelamatkan kedudukan dengan mengasak orang Melayu dengan kawasan pilihanraya campuran bagi memenangkan rakan kongsinya daripada kaum lain setelah parti itu kalah di kawasan mereka.

Mereka menekan bangsa sendiri yang menegurnya dan tidak bersamanya, dengan menindas negeri Melayu yang tidak berpihak kepada Umno. Tindakan menafikan hak royalti minyak terhadap Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu serta melambatkan bayaran perkapita. Begitu juga dengan Kedah. Ini adalah contoh nyata Umno menindas negeri Melayu.

Umno juga mengapi-apikan semangat perkauman Melayu sehingga tegang hubungan dengan kaum lain, seterusnya orang Melayu dilekakan dengan wang, media yang menipu dan melalaikan mereka. Ketika bangsa lain berpolitik secara matang dengan kefahaman merancang masa depan yang jauh. Namun orang Melayu berpolitik diajar oleh Umno untuk mencari peluang beberapa hari dimusim pilihanraya sehingga lupa menjadi mangsa setiap lima tahun sehingga lebih lima puluh tahun terus ketinggalan.

Sudah tiba masanya orang Melayu memberi peluang kepada Umno berehat atau bersara atau berhenti terus. Ucapan berapi dalam perhimpunan Agung Umno baru-baru ini lebih banyak membedil diri sendiri, bukan sahaja ada yang menikam dari belakang bahkan ada yang berani menikam secara berhadapan. Walaupun pada zahirnya menyerang lawan dan kawan. Yang tidak faham bertepuk tangan syok sendiri sehingga membengkak tangan. Adapun yang faham pula berubah wajah kerana kebimbangan bahteranya menunggu karam ditebuk kelasi sendiri.

Umat mesti diselamatkan

PAS berulangkali mengajak Umno bermuzakarah secara ilmu Islam dan adabnya bagi menyelamatkan umat dan negara dengan Islam, bukan berbincang untuk bersama memikul biawak hidup yang diternak oleh Umno. Mengajak kepada Islah sekadar kemampuan, kerana bukan cara menyelamatkan negara dengan mengapi-apikan semangat perkauman yang menegangkan hubungan diantara kaum dan agama. Caranya ialah dengan konsep adil untuk semua dan menjaga hak masing-masing secara adil, serta ruang demokrasi dengan batas-batas dan sempadannya yang sebenar secara ikhlas, bukan secara menipu. PAS percaya Islam adalah hujah yang terkuat daripada Allah S.W.T kerana Islam adalah Rahmat Allah kepada seluruh alam.

Tulisan ini bukan menjaga tepi kain orang lain, tetapi hanya peringatan kepada mereka yang kainnya sudah parah terkoyak, sehingga menampakkan kecacatan yang memalukan.

Sumber: http://www.niknasri.com/wp-content/uploads/2011/12/SURAT-TERBUKA-KEPADA-ORANG-MELAYU.pdf

Advertisement

Aurat Wanita: Telekung Solat

Ada sesetengah wanita Islam di luar sana mengakui telah menutup aurat sepenuhnya, akan tetapi kain masih terbelah, dada masih menonjol, bahagian punggung masih nampak alur seluar dalam. Malah ada yang memakai tudung, tetapi masih nampak rambut dan telinga kerana kain tudung agak nipis.

Satu persoalan untuk aku kongsi bersama para pembaca blog ini terutamanya mereka dari golongan wanita Islam Malaysia. Persoalannya ialah, “Jika anda mengatakan telah menutup aurat dengan sempurna, perlukah anda memakai telekung semasa solat?“.

Perkara ini berbeza jika kita lihat wanita Islam dari Timur Tengah, mereka menggunakan pakaian harian semasa mendirikan solat. Ketiadaan telekung di tempat solat wanita tidak menjadi masalah kerana mereka telah menutup aurat dengan sempurna.

Bagaimana pula di negara ini… Kenapa di setiap tempat solat wanita perlu telekung solat? Adakah wanita Islam Malaysia tidak menutup aurat?

Dalam permasalahan ini, aku tak salahkan pihak wanita Islam di Malaysia, mungkin kerana ‘kebiasaan’ bagi mereka mengenakan telekung semasa mendirikan solat, tetapi jika mereka telah menutup aurat secara sempurna tanpa mendedahkan aurat (termasuk bentuk badan), mungkin mereka boleh terus mendirikan solat tanpa telekung.

Bayangkan jika mereka berpakaian kebaya pendek dengan bertudung (Kebiasaan kita pakaian itu dikatakan telah menutup aurat), dan mereka mendirikan solat dengan keadaan begitu tanpa bertelekung… Apa yang anda fikirkan?, Dan bagaimana pandangan Allah Ta’ala pula?.

Mungkin kini tiba masanya anda (wanita Islam Malaysia) menutup aurat secara sempurna, kerana Allah Ta’ala tidak melihat kita semasa kita mendirikan solat, tetapi Dia melihat kita setiap masa.

Tepuk dada, tanyalah iman…

[Penulisan artikel dihantar kepada WordPress melalui BlackBerry Device]

[Edisi BERSIH 2.0] Perlembagaan Persekutuan: Pagar Makan Padi VS Ambiga Makan Padi

Don’t hate the player, but hate the game. Itu madah yang rasanya sesuai untuk aku gunakan dalam entry ini. Banyak makna boleh ditakrif dalam madah ini, dan dalam entry kali ini aku mahu baca pembaca kepada Perlembagaan PersekutuanFederal Constution (FC) – yang menjadi undang-undang tertinggi negara Malaysia.

Secara ringkas FC adalah perlembagaan Malaysia yang dibentuk dari perlembagaan Britian atau lebih dikenali sebagai Lord Reid. FC menjadi perlembagaan Malaysia yang diiktiraf British sebagai satu perlembagaan untuk bekas tanah jajahan mereka yang mahukan kemerdekaan. Perbezaan antara FC Malaysia dan FC Britain adalah agama Islam menjadi agama rasmi dan Sultan/Raja/YDPA adalah ketua agama Islam.

Siapa Ambiga?

Aku pun tak kenal dia. Aku kenal Ambiga ni apabila terbaca headline Utusan Malaysia beberapa minggu yang lepas. Ambiga adalah seorang Peguam yang mempercayai dan memperjuangkan Hak Asasi Manusia. Bila sebut Hak Asasi Manusia ini aku menjadi agak anti sedikit, bukannya aku anti perjuangan tersebut, tetapi kadang-kadang terdapat perjuangan mereka ini melepasi batas agama. Dalam kes ini, Ambiga pernah menjadi peguam Lina Joy yang mengaku murtad dan mahu membuang status agama Islam dari dalam kad pengenalannya. Malah Ambiga menjadi salah seorang penyokong IFC (Inter Faith Comission) yang memang ditentang aku malah seluruh orang Islam marah dengan wujudnya badan ini. Tetapi anda jangan lupa bahawa IFC juga disokong oleh Sister In Islam dimana antara ahli-ahlinya adalah nama-nama besar di negara ini.

Adakah aku marah?, Ya, aku marah dengan orang seperti itu. Tapi apa yang aku boleh buat?, Ambiga buat perkara tersebut sebab dia faham undang-undang, dia faham FC dan dia menggunakannya FC sebagai wadah bagi dia untuk mendapatkan hak – hak asasi manusia yang terkandung dalam FC itu sendiri. Itu kelompongan FC untuk manjadi perisai agama Islam walaupun Agama Islam itu agama rasmi negara ini.

Ambiga dan BERSIH 2.0

Pada permulaan BERSIH diadakan, BERSIH dianjurkan oleh PAS bagi menuntut keadilan dan ketelusan pilihanraya dari SPR. Selepas perhimpunan BERSIH 1.0 selesai, PAS “menyerahkan” BERSIH badan NGO yang dikenali  “Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adila.k.a BERSIH agar dapat menguruskan BERSIH dengan lebih berkesan. Dalam BERSIH 2.0, NGO ini menganjurkan perhimpunan dan secara sepakat telah melantik Ambiga sebagai Ketua dan Muhammad Sabu (Timbalan Presiden PAS) sebagai Penolongnya dan kebanyakan ahlijawatankuasanya terdiri orang-orang politik dan juga NGO. Pakatan Rakyat tidak ketinggalan menjadi salah satu penyokong NGO ini.

Dalam Bahagian II (Kebebasaan Asasi) Perkara 10 (Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan), menyatakan hak untuk berhimpun secara aman dan hak asasi manusia telah digunakan pakai bagi menganjurkan perhimpunan BERSIH 2.0. Sekali lagi Ambiga diberi peluang untuk menggunakan ilmunya bagi menuntut hak rakyat melalui FC tersebut. Kekuatan FC ini menjadi perisai rakyat untuk menuntut hak mereka. Ya, kali ini aku menyokongnya kerana BERSIH 2.0 menuntut hak aku sebagai pemilih.

Kelompongan dan Kekuatan FC

Dua situasi yang berbeza pada pendirian aku juga yang berbeza, tetapi berpunca pada sumber yang sama iaitu FC. FC yang kita gunapakai boleh menjadi perisai dan juga senjata berbahaya menentang kita. Suka atau tidak itulah hakikatnya bagaikan peribahasa “harapkan pagar, makan makan padi“. Itulah sebabnya pada permulaan tulisan ini aku menyatakan “Don’t hate the player, but hate the game” kerana “player” adalah kita = rakyat, manakala “game” itu adalah FC yang dijulang. Kepada penyokong BN anda perlu muhasabah diri sendiri dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang merapu dan akhirnya terpalit pada hidung sendiri. Mereka yang menjulang FC, mereka juga marahkan IFC, mereka juga menentang BERSIH, tetapi mereka mengaku sebagai rakyat Malaysia dengan melaungkan rukun negara “Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang” tetapi dalam masa yang sama mereka merogol FC itu sendiri. Jangan marahkan Ambiga, PAS, PKR, penyokong BERSIH atau sesiapa sahaja yang berbeza pendapat dengan anda, tetapi marahkan undang-undang yang anda julang sekarang ini.

Jelas di sini, hukum FC tak boleh dipakai lagi. Jika mahukan perubahan yang adil dan saksama perlu kembali kepada Al-Quran dan Sunnah. Memang susah nak meng”Islam”kan FC, tetapi tak susah untuk mengajar orang tentang Islam. Tetapi semua boleh diubah, hanya Al-Quran sahaja yang tak dapat diubah kerana Al-Quran sesuai sepanjang zaman, bukan Al-Quran mengikut zaman, tetapi zaman mengikut Al-Quran.

Pesanan untuk orang UMNO dan penyokongnya, cuba sedarkan diri anda, apa yang anda perjuangkan dalam UMNO untuk menaikkan Al-Quran sebagai FC?

Kebebasan Bersuara?: Karikatur Muhammad & Murtad

Molly Norris yang didakwa menganjurkan “Everybody Draw Mohammed Day” telah meminta maaf pada seluruh umat Islam. Ya, sebagai seorang muslim kita patut maafkannya, malah Molly Norris sendiri mengaku bahawa bukan beliau yang mencipta laman “Everybody Draw Mohammed Day” di Facebook, tetapi orang lain yang beliau sendiri tak kenal (klik untuk ke blognya). Pada aku, baik kita bersangka baik dengannya.

Apa yang aku ingin paculkan di sini ialah mengenai mereka yang mahu melukis wajah baginda Rasulullah kerana “hak kebebasan bersuara” yang mereka anuti. Begitu cetek pemikiran seseorang itu apabila mengganggu kehormatan agama lain bagi memuaskan hati dan nafsu mereka. Apa yang mereka dapat?

Begitu juga dalam hal murtad di Malaysia. Entri aku yang aku copy paste dari satu e-mail ke dalam blog ini bertajuk Murtad Di Malaysia menjadi bahan serangan pihak yang tak faham Islam yang kononnya memahami Islam dan menyalahkan orang Islam kerana terjadinya murtad. Permasalahanya sekarang adakah mereka faham apa itu murtad? dan kenapa Islam menentangnya?

Kebiasaannya jawapan aku mudah, “Agamamu soal agama mu, agamaku soal agamaku“, kerana aku berpegang dengan agamaku sendiri tanpa dengan niat untuk memahami atau cuba memahami agama lain dan dengan sebab itu aku tak mahu campur tangan atau menulis apa-apa mengenai agama lain. Kebebasan beragama dalam negara ini telah memberi kemudahan yang jelas untuk sesiapa sahaja mengaplikasikan agama mereka seharian.

Dalam entri kes murtad ini, terdapat beberapa komen yang menyinggung perasaan dan telah aku padam demi kepentingan blog ini agar tidak dicela. Ada juga komen yang mencabar, tetapi pada aku sebagai tin kosong yang diketuk bunyi sahaja yang bising, tetapi isinya tiada.

Persoalannya sekarang ialah kenapa mereka yang bukan Islam ini banyak mencabar kedaulatan Islam itu? Mencabar untuk melukis wajah Rasulullah S.A.W, mencabar hukum hudud, mencabar pesalah murtad, mencabar al-Quran, mencabar masjid, mencabar tudung dan purdah dan lain-lain lagi. Apa yang mengganggu mereka ini? Atau adakah kerana hak-hak asasi yang hanya terbentuk oleh logik akal yang sempit menyebabkan mereka jumud dengan pemikiran mereka sendiri?

Bagi aku, Islam membawa keindahan hidup kepada penganutnya yang mentaati apa yang terkandung dalam al-Quran dan As-sunnah. Apa yang di bawa oleh Rasulullah S.A.W itu lengkap, baik dari segi akhlak, iman, undang-undang, kewangan, hidup dan mati dan lain-lain lagi.

Memang tak dinafikan terdapat ramai orang Islam di Malaysia ini yang perangainya bagai orang yang tak beragama, dan fahami juga bahawa itulah nilai “hak-hak asasi” yang menjadi tunjang mereka dan menyebabkan mereka rosak akhlaknya. Mereka lahir dalam Islam, tetapi bukan Islam yang mengajar mereka begini,  kerana untuk memahami Islam perlukan kefahaman lebih dari logik akal yang hanya dapat dicapai dengan iman dan kepercayaan bahawa Allah itu wujud. Walaupun seseorang itu lahir dari rahim ibu yang Islam, tak semestinya dia boleh memahami Islam dengan baik dan ditambah lagi dengan kemajuan dunia ini menyebabkan mereka yang tak beriman tak akan faham apa itu iman.

Kepada mereka yang rajin komen kepada entri Murtad Di Malaysia dalam blog ini harap jangan menuduh orang Islam itu dan ini. Orang Islam hanya mempertahankan hak agama mereka kerana darjat “hak-hak asasi” adalah lebih rendah dari apa yang kita fikirkan. Hak agama Islam lebih bernilai dipertahankan kerana lebih banyak manfaatnya berbanding hak-hak lain. Hidup kami kerana Islam adalah kejayaan, dan  mati kami kerana Islam juga kejayaan. Fahamilah itu.

Nik Aziz Macam “Bahlol Dana” Malaysia

Kalau nak maki, tolong baca sampai habis dulu, baru maki. Terima kasih.

Zaman baru belum bersunat dahulu (2 bulan lepas), selalu sangat aku dan kawan-kawan duk bermain dan bergurau. Main guli, panjat pokok. Kemudian bergaduh. Tengah sedap bergaduh, keluar lah perkataan ‘bangang, bodoh, bahlol dan seumpamanya’ (Korang pun tahu yang selebihnya. Macam tak pernah buat kecik2 dulu. Elehhh..)

Tapi masa tu, ada ‘abang besar’ yang marah benar kalau kami sebut bahlol. Katanya tak baik. Eh, masa cakap ‘bodoh’ dia tak marah pulak. Siap join sekaki.

Tapi sebab tengah ‘kecik’ masa tu, tak berani la nak melawan. Taqlid buta je lah. Kang kalau tak taqlid, makan penerajang pulak. Budak besar2 ni bukan boleh buat kira.

Sampailah aku dewasa dan masuk universiti, reti bukak kitab, baru lah aku faham bebenar pasal apa jangan sebut bahlol.

Bahlol ialah nama seorang ulama yang hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Harun Ar Rashid. Hebatnya Bahlol (Nama sebenarnya ialah Bahlol Dana r.a) ni sampaikan Imam Abu Hanifah (pengasas Mazhab Hanafi) pun mengiktiraf beliau sebagai gurunya. Ada pengkaji mengatakan Bahlol ini ialah saudara lelaki (tak tahu lah tiri atau kandung) dan penasihat kepada Khalifah sendiri. Bahlol dikenali sebagai Madjzub iaitu golongan yang menyembunyikan kepintaran mereka dengan perbuatan2 yg tak masuk akal. Sesetengah orang sahaja yang mampu kenal siapa madjzub ni.

Satu kisah yang menarik ialah, ketika Harun Ar Rashid duk jalan2 ngan bini dia (Zubaidah), mereka ternampak lah Bahlol ni tengah buat rumah dari tanah liat. Zubaidah ni pun tanya la:

Wat apa tu Bahlol?

Wat rumah. Rumah ni untuk syurga punya

Nak beli boleh? Rega berapa inggit?

Kasik 10 dinar la. Kasi cincai punya harga“.

Selamba badak, Zubaidah bawak keluar duit 10 dinar dari beg Gucci dia, bagi kat Bahlol. Dan selamba badak jugak, Bahlol buang duit tu dalam sungai.

Haa.. balik lah, kau dah ada rumah dah kat syurga Zubaidah“.

Gelak-gelak Harun masa tu. “Sayang dah kena main dah ngan Bahlol tu. Kah kah kah“.

Malam tu, Harun Ar Rashid mimpi, dia mimpi masuk syurga. Di hadapan dia masa tu ada sebuah istana, yg tertera nama bini dia. Harun pun cuba masuk, tapi dihalang oleh malaikat.

Eh apsal halang2 ni? Ni rumah bini aku

Rumah bini kau kat dunia boleh la kau masuk. Kat akhirat sendiri sendiri

Bangun Harun Ar Rashid, peluh2. Di kejut bini dia dan pagi itu jugak, depa dua orang ni duk cari Bahlol. Jumpa la Bahlol tepi sungai, tengah buat rumah tanah liat.

Bahlol, aku datang nak beli rumah ni

Buleh. Tarak hal punya

Berapa harga?

Harga kengkawan, 10 000 dinar.”

Jadah apa naik sampai 10 000? Aku tak buat GST pun lagi kau dah penaik rega ke?

Haa.. sebab semalam bini kau ‘membeli tanpa melihat‘ “

Haha.. so, soalan aku, apa benda maksud tersirat Bahlol bila dia kata Zubaidah ‘membeli tanpa melihat’ sampaikan Zubaidah dapat harga runtuh?

Itu yg kita panggil ‘tahap kepercayaan’. Ada orang kena tengok dulu nikmat, kena tengok dulu azab, baru nak buat amal. Ada orang, bila dengar saja, depa patuh dan taat.

Ada orang bila pimpinan buat sesuatu, maka banyak pulak buat spekulasi. Nak masuk Umno la hapa la. Sana sini mintak bukti. Banyak buruk sangka dari baik sangka. Itu penanda tahap thiqah yg rendah.

Haaa.. kan kena lagi Pas Recond dengan aku.. Keh keh..

Kemudian, masa zaman aku duduk universiti dulu (aku rasa time tu aku tengah2 nak grad kot), ada lah aku ikut satu pengajian oleh seorang ahli Majlis Fatwa sebuah negeri (Apa nama dia aku dah tak berapa nak ingat).

Dia cerita, masa zaman Bahlol tu, berlaku satu kemarau yg sangat dahsyat. Kira2 ganda2 la panas dari kita yg duk Malaysia hari ni. Habis khalifah suruh para ulama solat minta hujan. Turunlah ulamak, solat beramai-ramai… tapi tak ada hujan yang turun pun. Pening weh khalifah masa tu. Dipanggil la menteri dia mengadap.

Hah, habis ulamak dah kita suruh solat mintak hujan ni. Tak setitik pun turun. Pabenda yg kita nak buat lagi ni?

Eh tuanku, ada sorang lagi yang kita tak panggil

Sapa?

Bahlol

Bahlol pun Bahlol la, arah dia buat solat mintak hujan

Bahlol
pun pergi la ke masjid. Masa tu ramai dah yg ikut berkumpul. Ya la, nak solat mintak hujan kan. Tak best la kalau sembahyang sorang2 ni.

Tiba-tiba, Bahlol naik atas mimbar, ditunjukkan jarinya ke langit dan dia mintak “Ya Allah, turunkan lah hujan“. Tak ada solat apa pun.

Time tu jugak, hujan turun dengan lebat… Cepat sungguh Allah jawab permintaan wali-Nya.

Aku teringat kisah Bahlol ini bila aku baca laporan dari Malaysian Insider berkenaan solat sunat Istisqa’ yg di imamkan Tuan Guru Nik Aziz yg terus dijawab oleh Allah ketika tengah solat lagi.

Hujan dilaporkan mula turun start masa Tok Guru baca Fatihah lagi.

Oleh itu, pada hemat aku, TGNA memang banyak mempunyai ciri-ciri Waliyullah seperti Bahlol Dana r.a. Ada karamahnya dan tinggi bahasanya. Sepertimana isu-isu ‘Tuhan samseng’, ‘Allah mencarut’ yang memang payah nak difaham oleh orang2 yang mempunyai pemikiran lurus macam tiang letrik.

Semoga Allah terus memelihara kepimpinan ulamak daripada serangan dan fitnah dari luar dan dalam.

Amin..

Sumber asal: Ali Zidan Blogspot
Artikel berkaitan: Ali Zidan ialah Songkok Putih

UMNO Di Hatimu

Kesian aku kepada pencari maklumat untuk menulis surat kepada PM. Cari punya cari, akhirnya sampai ke blog aku yang langsung tak membantu mereka untuk mencari idea. Tapi yang bagusnya, artikel “Jom Masuk Pertandingan Menulis Surat Kepada PM” yang aku tulis semakin popular. Malah “Top Searches” untuk menjumpai blog aku adalah berkenaan pertandingan ini. Tapi tak apa, korang tulis la beberapa kertas kajang pun surat pada PM, tapi PM buat bodoh sahaja pada rakyat. Kesian korang.

Lupakan sejenak hal tulis surat kepada PM ni. Kita kembali ke alam realiti rakyat Malaysia yang berdebar-debar menanti kenaikan harga minyak kenderaan, keputusan mahkamah mengenai status MB Perak – yang mungkin membawa kepada Pilihan Raya Negeri di Perak, masalah penggunaan kalimah Allah, masalah royalti minyak di Kelantan, masalah kepala babi di masjid yang semakin hari semakin memburukkan keadaan. Apakah punca ini terjadi? Adakah ini yang dikatakan sebagai aman?

Pemerhatian aku kepada mereka yang berpendapat bahawa UMNO dan BN hanya patut di terima oleh rakyat Malaysia amatlah cetek dan rapuh sekali, baik mereka dari kalangan pemimpin bahagian, cawangan, pelajar IPT, graduan hingga kepada makcik-makcik kampung yang menyokong BN hanya mampu menggunakan alasan dan modal yang sama kenapa mereka memilih BN sebagai pilihan.

Standard pemilihan alasan yang “miskin” ini tidak menampakkan percambahan idea dan pegangan agama dari kalangan mereka yang menyokong BN. Masih berada di takuk yang lama, malah makin teruk dari hari ke hari. Kasihan. Apa yang mereka ingin tegakkan sedangkan selama ini BN yang memerintah Malaysia, bukan dari PAS, PKR mahupun DAP, sepatutnya apa yang BN buat sudahpun ditunaikan, tetapi hingga hari ini hanya kemajuan materialistik yang diagongkan, tetapi taraf hidup rakyat, ilmu dan syariat Islam masih di peringkat yang paling bawah. Oleh itu, tak salah rasanya kalau aku nyatakan di sini bahawa punca kepada kekacauan yang aku nyatakan di atasa berpunca kepada BN kerana mereka tidak memimpin dengan baik. BN sudah tua – rumah kata pergi, kubur kata mari.

Secara hipotesis, aku melihat mereka yang memperjuangankan perjuangan BN dan UMNO hanyalah “bangsa bodoh” yang tidak berfikiran secara matang melalui ilmu dan idea yang bijak. Pemikiran kosong dan idea lapuk menjadi perisai bila berhadapan dengan pihak lawan. Bila terfikir balik, “Rasa bengong pula lawan dengan orang bangang ni“. Seperti artikel aku sebelum ini – Apa hebatnya Penyokong BN?, alasan-alasan yang mereka berikan tiada perbezaan ilmu dan idea antara seorang graduan IPT dengan makcik-makcik yang tak pernah pergi sekolah pun (bukan untuk menghina makcik-makcik, hanya sebagai perumpamaan).

Adakah generasi penyokong BN dan UMNO ini yang patut diangkat? Menaikkan orang bodoh menjadi pemimpin? Tidak tahu perbezaan perjuangan agama dan bangsa? Tidak tahu yang mana patut diutamakan – Islam atau Kemajuan? Syariat Islam tidak diletakkan pada tempatnya? Adakah generasi ini yang patut aku sokong?…… tidak sama sekali.

Berfikirlah dengan bijak, bukan dengan nafsu.