Guru & Ibubapa: Siapakah Pendidik Sebenarnya?

Pagi tadi dalam kereta, sementara menunggu mesyuarat bermula, aku mendengar Hot Chat dari Hot FM, DJ Faizal Ismail dan Azhar Sulaiman yang menggantikan Fara Fauzana. Hot Chat ini sebenarnya aku tak tahu apa tajuknya, tetapi yang jelas ia mengenai perilaku murid dan guru di sekolah.

Aku tak mahu komen mengenai keseluruhan sesi itu, tetapi ada satu panggilan yang menarik perhatian aku yang berbunyi lebih kurang begini:

Makcik memang ada pengalaman pedih, yang mana peristiwa ini pernah masuk satu majalah mengenai anak makcik yang menjadi mangsa buli tetapi sebaliknya apa yang berlaku anak makcik dipandang serong oleh guru-guru. Sebagai guru, mereka tidak boleh berfikiran negatif kerana mereka adalah pendidik. Mereka menerima latihan untuk menjadi pendidik bukan seperti ibubapa yang tidak menerima latihan itu. Itu yang makcik kesalkan sekarang

Begitulah kata makcik tersebut dalam radio pagi tadi. Pada mulanya aku tiada nak komen apa-apa mengenai soal ini. Tetapi Hot FM berulang kali memainkan panggilan ini menyebabkan aku terpanggil untuk menulis artikel ini. Mungkin ibubapa dan guru yang membaca artikel ini akan terasa marah, tetapi aku tak kisah.

Secara jujurnya aku dibesarkan dalam satu keluarga yang dipenuhi dengan para guru-guru. Hidup aku biasa mendengar cerita itu, cerita ini mengenai murid jahat, nakal, baik, cerdik, alim, bijak dan lain-lain lagi. Pada aku ia sudah menjadi sebahagian dari darah daging aku. Cumanya aku tak ikut jejak langkah itu. Tapi tak bermaksud aku tak tahu mengenai dunia guru ini.

Aku sebenarnya kadang-kadang naik muak apabila mendengar ada ibubapa yang serang guru-guru kerana merotan anak-anak mereka. Itu tak masuk samanlah, gores kereta cikgulah, tunggu cikgu tepi jalanlah, dan macam-macam lagi. Bila ada ibubapa yang menyalahkan guru dalam masalah disiplin anak-anak mereka, maka sangat jelas bahawa ibubapa itulah yang menjadikan anak mereka sedemikian. Kerana aku percaya pendidikan awal bermula dari rumah.

Pepatah Melayu banyak menekan aspek hubungan anak dan ibubapa seperti “Tidak jatuh kuah kalau bukan ke nasi“, “Bapa borek, anak rintik“, malah dalam Islam sendiri mengajar kita untuk mencorak anak kita sendiri.  Begitu rapatnya hubungan antara ibubapa dan anak. Tetapi kebanyakan dari kita tak sedar tentang hakikat ini, kebanyakan ibubapa banyak menuding jari ke arah guru apabila terjadi sesuatu kepada anak mereka. Satu sekolah mempunyai lebih kurang 500-1,000 orang murid, dan dikawal oleh 15-30 orang guru, dan ibubapa pula yang hanya mengawal 1-3 orang anak masih lagi menyalahkan guru jika anak mereka menjadi nakal atau jahat. Di mana letaknya integriti seorang ibu dan bapa? Dan persoalan sekarang ini adakah isu pendidikan anak itu perlu dipenuhi oleh guru sahaja?.

Secara pengetahuan am yang aku faham, guru adalah pendidik bahagian akademik anak muridnya, manakala ibubapa pula adalah pendidik bahagian keperibadian (sahsiah) anak-anak mereka. Pada aku ini adalah imbangan yang sesuai untuk aku gambarkan kepada kita mengenai tanggungjawab kependidikan anak-anak. Apa yang guru-guru boleh buat untuk membantu ibubapa ialah nasihat dan hukuman (mengikut undang-undang sekolah) jikalau ia melibatkan disiplin yang teruk. Tetapi apa yang berlaku sekarang ini, apabila anak-anak itu dihukum oleh guru-guru, maka guru-guru itu pula yang menjadi mangsa.

Ayah aku yang seorang guru, pernah jadi Pengetua sebelum jadi Guru Cemerlang berkata, “Tanggungjawab guru terhadap anak muridnya hanyalah terhad di dalam pagar kawasan sekolah. Apabila murid itu keluar dari sekolah, maka itu bukan lagi tanggungjawab guru“. Jelas dan telus. Itu sahaja yang aku dapat gambarkan. Masalah luar sekolah adalah masalah ibubapa dan kadang kala anak-anak ini sanggup menyalahkan sekolah dan guru-guru (dalam erti kata lain menipu) apabila ibubapa mendapati anak-anak mereka lebam sana, lebam sini sedangkan masalah itu berlaku luar sekolah. Tetapi bagi memastikan mereka (anak-anak) dipandang baik oleh ibubapa mereka, maka sekali lagi sekolah dan guru menjadi mangsa. Filem Anakku Sazali, arahan dan lakonan Allahyarham P. Ramlee sudah menceritakan perkara ini. Jangan terlalu percaya pada anak, nanti kita yang rugi.

Bagi para guru pula, maksud menjadi seorang pendidik itu luas maknanya. Waktu ini aku banyak melihat ramai dikalangan guru-guru menjadikan kerjaya ini sebagai pilihan terakhir dan satu kerjaya yang relaks tetapi boleh dapat duit. Walaupun tak semua begitu, tetapi modal inilah yang akan merosakkan nama guru-guru. Pada aku guru ini penuh dengan integriti, amanah, tabligh (penyampai) untuk memberi ilmu yang baik kepada anak muridnya. Dan ilmu inilah yang akan mejadikan mereka (murid) ini berjaya dalam hidup.

Walaupun dalam artikel ini aku banyak tekankan tanggungjawab ibubapa, tak bermaksud guru tidak penting. Guru banyak main peranan yang mengikut situasi, tetapi ianya tak sama dengan ibubapa. Itulah sebabnya aku banyak tekankan peranan ibubapa kerana aku juga sedang menerusi alam ke-ibubapa-an ini. Apa yang aku lakukan ialah mengikut apa yang ibubapa aku lakukan atas aku dulu, dan aku rasa ia satu cara yang baik. Maka tidak salah kalau aku mengambil cara yang sama.

Pandapat aku, kependidikan anak-anak ini perlu melihat kepada peredaran masa, tetapi tak semua. Mana yang perlu dimarah, kita marah. Mana yang perlu kita rotan , kita rotan. Mana yang perlu kita pupuk, kita pupuk. Mana yang perlu kita belajar, kita pelajari. Yang penting kita tahu anak itu amanah Allah S.W.T kepada kita dan kita sendiri yang mencorakkannya, bukan guru, bukan Guru Besar, bukan Pengetua, dan jauh sekali bukan juga tukang kebun sekolah.

Posted on November 18, 2009, in Bebas, Isu Semasa, Tazkirah. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: