50 sen kurang pun jadi isu ke?. Kira baguslah kalau dapat turunkan harga minyak daripada tak ada apa-apa inisiatif dari kerajaan nak turunkan harga minyak. Naik lagi tinggi ada la.
Sepatutnya tak perlu jadi isu pada Ahmad Shabery mengatakan bahawa Anwar Ibrahim kena turunkan harga minyak bawah dari harga sebelum naik (RM 1.92) kerana PKR menjanjikan perkara tersebut semasa harga minyak pada harga lama. Masalahnya pada masa tersebut (sebelum pilihanraya), kerajaan sendiri yang menabur janji manis mengatakan bahawa minyak tidak akan naik sehingga akhir tahun. Tapi tiba-tiba selepas pilihanraya dan tak sampai setahun, harga minyak naik mendadak.
Nak buat kerosakan keatas sesuatu barang itu memang senang, tapi nak betulkan semula sebenarnya agak susah. Tapi itulah yang dipusing-pusingkan oleh Ahmad Shabery. Selain menyerang secara peribadi dengan mengungkitkan perihal Anwar yang terdahulu, banyak fakta-fakta yang Anwar sebutkan tak dapat disanggah oleh beliau. Dilihat seperti orang yang sesat di rumah sendiri.
Tak perlulah mainkan alasan dengan janji PKR untuk menurunkan harga minyak mendadak sehingga bawah dari RM 1.92, sedangkan nak membetulkan perkara yang sudah terjadi memerlukan masa. Apa yang aku dengar, Anwar mengambil langkah pertama iaitu dengan menurunkan harga minyak sehingga 50 sen. Mungkin selepas itu akan terdapat langkah kedua dan ketiga dan seterusnya. Kenapa tak beri peluang?
Bayi yang hendak mula berjalan pun mengambil masa. Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah pun tidak sekaligus. Semuanya memerlukan masa. Jika kalau Anwar mampu turunkan sehingga 50 sen, tak perlulah ia jadi isu. Yang sepatutnya jadi isu kenapa kerajaan tak mampu buat begitu? Bukankah ramai cerdik pandai dalam kerajaan yang boleh memikirkan perkara seperti ini.
Dari segi fakta, seperti apa yang Anwar katakan dapat dilihat bahawa rancangannya untuk menurunkan harga minyak itu semacam benar kerana fakta tersebut langsung tak disentuh oleh Ahmad Shabery. Antara fakta itu benar atau Ahmad Shabery langsung tak tahu perkara tersebut, aku tak berani nak cakap. Tapi secara logik akal, bila sesuatu fakta itu dinyatakan tanpa ada apa-apa tentangan, maka ia nampak seperti benar dan betul.
Dalam debat ini aku hanya nampak kerja Ahmad Shabery hanya mencari salah Anwar semasa menjadi Menteri Kewangan dan juga Timbalan Perdana Menteri. Sama seperti MAS dahulu, harga tambang dinaikkan sebab harga minyak naik. MAS salahkan harga minyak global yang semakin meningkat, sedangkan AirAsia pula mempromosikan harga rendah untuk semua destinasi penerbangannya. Kenapa AirAsia boleh bagi harga murah sedangkan ia milik seorang usahawan yang terhad sumbernya sedangkan MAS milik kerajaan yang mempunyai banyak otak untuk berfikir dan mempunyai sumber yang luas?
Aku masih lagi tak puas dengan debat seperti ini. Kempunan rasanya nak dengar debat secara ilmiah yang sihat tanpa menyerang peribadi seseorang. Biar fakta lawan fakta. Debat lawan debat. Baru puas. Kalau kerajaan tak sanggup, menyerah sahajalah. Tak perlu nak kompang satu kampung mengatakan bahawa kerajaan bersifat terbuka atau adil. Buang masa.






Komen-komen Pembaca